Media & Events

MCMC Giatkan Usaha Penyampaian Perkhidmatan Telekomunikasi dan Jalur Lebar (Con't)

25 Jun 2020
MCMC Giatkan Usaha Penyampaian Perkhidmatan Telekomunikasi dan Jalur Lebar Di Kawasan Pedalaman Sarawak

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membuat tinjauan di sebuah perkampungan di Pakan, Sarawak dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar kisah pelajar dan penduduk di kawasan berkenaan yang terpaksa keluar jauh daripada kediaman mereka bagi mendapatkan liputan perkhidmatan komunikasi.

Hasil tinjauan akan dipadankan dengan pelan pembangunan telekomunikasi yang telah dirancang untuk kawasan tersebut bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan komunikasi berkualiti sekaligus memperbaiki taraf kehidupan mereka.

Setakat ini, sebanyak 185 menara telekomunikasi baharu di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 2) akan mula dibina meliputi semua Bahagian di Sarawak. Daripada jumlah tersebut, tujuh (7) menara baharu dirancang untuk dibina di Pakan. Kesemua menara tersebut dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2021.

Inisiatif peluasan liputan komunikasi merupakan usaha berterusan oleh MCMC sejak dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) mula diwujudkan pada 2003. Sehingga Mei 2020, MCMC dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi telah mendirikan sejumlah 553 menara telekomunikasi selain menaik taraf sejumlah 1,064 menara telekomunikasi kepada rangkaian 3G dan 4G di Sarawak.

MCMC sedar masih terdapat banyak kawasan yang belum mendapat liputan komunikasi menyeluruh dan stabil terutamanya di kawasan luar bandar. Selain bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan laluan masuk yang sukar, masalah ketiadaan bekalan elektrik juga menjadi cabaran kepada MCMC dan syarikat telekomunikasi untuk membina menara di kawasan pedalaman. Antara kaedah alternatif yang diguna pakai bagi mengatasinya ialah penggunaan rangkaian satelit dan bekalan janakuasa diesel yang menyebabkan liputan tidak stabil.

MCMC komited dengan misinya untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi yang menyeluruh kepada rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar dalam usaha merapatkan jurang digital di seluruh negara.

PDF
Share this article
Follow