Media & Events

MCMC Keluarkan 77 Kompaun Berjumlah RM3.7 Juta Kepada Pemegang Lesen Sepanjang Suku Tahun (Cont')

19 Mar 2021
MCMC KELUARKAN 77 KOMPAUN BERJUMLAH RM3.7 JUTA KEPADA PEMEGANG LESEN SEPANJANG SUKU TAHUN PERTAMA 2021
 
  • Maxis Broadband Sdn Bhd penerima kompaun terbanyak iaitu 68 dengan kompaun berjumlah RM3.3 juta diikuti oleh U Mobile Sdn Bhd dengan kompaun berjumlah RM350,000.
  • Kesalahan-kesalahan yang dilakukan adalah kegagalan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik, ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir dan kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen.
 
CYBERJAYA, 19 Mac 2021 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan sebanyak 77 kompaun berjumlah RM3.7 juta kepada pemegang-pemegang lesen dalam tempoh suku tahun pertama 2021 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
 
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 68 kompaun yang berjumlah RM3.3 juta telah dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi, Maxis Broadband Sdn. Bhd. (Maxis), menjadikan syarikat telekomunikasi itu penerima kompaun terbanyak pada suku pertama tahun ini. RM3.25 juta daripada jumlah RM3.3 juta kompaun yang dikenakan kepada Maxis adalah berkaitan kegagalan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik dan selebihnya kerana ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir.
 
MCMC terus berusaha memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi mengutamakan hak pengguna termasuk memastikan kebebasan pengguna untuk memilih perkhidmatan telekomunikasi yang dikehendaki mereka. Tindakan ini selaras dengan Ikrar Mesra Pelanggan yang dimeterai oleh syarikat-syarikat telekomunikasi pada pertengahan Jun 2019, yang mengikat komitmen mereka untuk melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna.
 
Pihak MCMC turut mengenakan tujuh (7) kompaun berjumlah RM350,000 kepada syarikat U Mobile Sdn. Bhd. atas ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir.
 
Selain itu, Sistem Televisyen Malaysia Berhad dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pula masing-masing dikenakan satu (1) kompaun yang berjumlah RM40,000 dan RM20,000 kerana kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan.




PDF
Share this article
Follow