Media & Events

MCMC Nasihat Pengguna Facebook Dan Instagram Ambil Langkah Berjaga-Jaga

24 Mar 2019
MCMC NASIHAT PENGGUNA FACEBOOK DAN INSTAGRAM AMBIL LANGKAH BERJAGA-JAGA
 
Pihak Facebook memaklumkan bahawa semasa pemeriksaan keselamatan rutin yang dijalankan pada bulan Januari lepas, terdapat kata laluan sebahagian pengguna Facebook dan Instagram yang didapati telah disimpan dalam format yang boleh dibaca oleh kakitangan dalaman mereka (format teks biasa), walaupun sistem yang digunakan pada asasnya direka bentuk untuk menyulitkan kata laluan tersebut. 
 
Menurut Facebook, kata laluan tersebut tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak luar, dan sehingga kini, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa kata laluan tersebut telah disalahgunakan oleh kakitangan Facebook.
 
Dalam hal ini, Facebook turut memaklumkan bahawa permasalahan ini telah diperbetulkan dan para pengguna yang terbabit akan dimaklumkan dengan sewajarnya berhubung perkara ini.
 
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak MCMC ingin menasihatkan para pengguna Facebook dan Instagram di Malaysia yang ada menerima pemakluman tersebut untuk menukar kata laluan masing-masing.
 
Sebarang proses penukaran kata laluan perlu dibuat secara terus di aplikasi atau laman rasmi Facebook dan Instagram. Langkah ini penting memandangkan terdapat kemungkinan ada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu ini, untuk memperdaya orang ramai melalui kaedah penipuan, penyamaran dan Phishing.
 
MCMC akan turut memantau perkembangan lanjut berhubung isu ini, selain akan berhubung rapat dengan pihak Facebook untuk sebarang isu yang berbangkit.
 
TAMAT
 
Share this article
Follow