Media & Events

MCMC Prihatin Masalah Liputan Internet Kampung Mengkapon, Pitas, Di Sabah

10 Oct 2020
Susulan kisah penduduk di Kampung Mengkapon, Pitas, Sabah yang terpaksa menggunakan pelbagai kaedah kreatif untuk mendapat liputan Internet tular di media sosial, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan, pelbagai usaha giat telah diambil bagi memastikan kesalinghubungan di kawasan berkenaan sekaligus memberi kemudahan kepada penduduk setempat di sana.

Di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1, sebanyak 50 menara telekomunikasi baharu akan didirikan di Sabah. Daripada jumlah tersebut, 13 menara baharu akan didirikan di Pitas. Kampung Mengkapon telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan menara berkenaan.

Kerja-kerja pembinaan menara baharu ini telahpun dimulakan. Pada masa ini, pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik sedang dalam proses memohon kelulusan daripada pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah sebelum kerja-kerja dimulakan di tapak-tapak yang telah dipilih. Mengambil kira proses kelulusan, pembinaan menara dan pemasangan alat pemancar, adalah dijangkakan pembinaan menara akan siap dan beroperasi dalam tempoh antara enam (6) hingga 12 bulan. Dalam hal ini, kerjasama dari pihak Kerajaan Negeri juga amat diperlukan dari segi kelulusan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini.

MCMC sentiasa prihatin dengan keluhan masyarakat berkaitan kemudahan telekomunikasi terutamanya di luar bandar dan melakukan usaha berterusan untuk merapatkan jurang digital di seluruh negara.

PDF
Share this article
Follow