Media & Events

MCMC Rampas 27 Set Pengimbas RFID Jarak Jauh UHF

22 Jul 2019
 MCMC RAMPAS 27 SET PENGIMBAS RFID JARAK JAUH UHF  
  • Serbuan ke atas premis syarikat EID Technology Sdn Bhd di UEP Subang Jaya dibuat dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya dan SIRIM 
  • Tindakan penguatkuasaan membanteras penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui diperhebatkan   
CYBERJAYA, 22 Julai 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak SIRIM, baru-baru ini telah menyerbu premis sebuah syarikat penyedia penyelesaian perisian iaitu EID Technology Sdn Bhd di UEP Subang Jaya berikutan aduan awam. 

Hasil serbuan mendapati terdapat 27 set pengimbas Identifikasi Frekuensi Radio Jarak Jauh UHF (UHF RFID Long Range Reader) yang tidak diperakui di premis syarikat berkenaan.  

Kesemua barang yang dirampas itu telah disita untuk tujuan analisis bagi membantu siasatan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana kesalahan memiliki dengan tujuan untuk menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui SIRIM.  

Jika disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam (6) bulan atau kedua-duanya.  

MCMC yakin usaha penguatkuasaan yang berterusan ini dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan golongan peniaga bahawa memiliki dan menjual peralatan komunikasi yang tidak diperakui adalah satu kesalahan. Sebarang penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menyebabkan gangguan frekuensi kepada rangkaian komunikasi dan menjejaskan kualiti perkhidmatan.  
 
Belilah kelengkapan komunikasi yang telah diperakui oleh SIRIM. Muat turun aplikasi mudah alih Check Your Label atau layari laman sesawang https://ecomm.sirim.my untuk maklumat lanjut.  
Share this article
Follow