Media & Events

MCMC Sambut Baik Pelantikan Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek Sebagai Pengerusi MCMC Yang Baharu

10 Jun 2020
MCMC SAMBUT BAIK PELANTIKAN DR. FADHLULLAH SUHAIMI ABDUL MALEK SEBAGAI PENGERUSI MCMC YANG BAHARU
 
Pihak pengurusan serta seluruh kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakamkan ucapan tahniah dan menyambut baik pelantikan Yang Berusaha Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek sebagai Pengerusi MCMC yang baharu bagi tempoh selama dua (2) tahun berkuat kuasa hari ini.
 
Dr. Fadhlullah mengambil alih kepimpinan MCMC daripada Encik Al-Ishsal Ishak yang menerajui Suruhanjaya sejak 1 Oktober 2018 lalu.
 
Dr. Fadhlullah mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam sektor telekomunikasi dan pernah berkhidmat di MCMC sebagai anggota Suruhanjaya serta sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi. Sebelum pelantikannya sebagai Pengerusi MCMC, Dr. Fadhlullah pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Perdana.
 
MCMC yakin pengalaman luas Dr. Fadhlullah dalam sektor telekomunikasi mampu memberi kelebihan kepada beliau untuk mengukuhkan peranan dan prestasi Suruhanjaya bagi memastikan agenda-agenda seperti meningkatkan liputan infrastruktur jalur lebar, kualiti perkhidmatan telekomunikasi talian tetap dan mudah alih, penyiaran, perkhidmatan pos dan kurier, serta persediaan ke arah 5G dan urus tadbir, dapat dilaksanakan bagi memacu industri telekomunikasi dan multimedia negara.
 
MCMC juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Al-Ishsal Ishak atas sumbangan dan perkhidmatan beliau sepanjang tempoh menerajui MCMC.

PDF
Share this article
Follow