Media & Events

MCMC Sediakan Perancangan Dan Penyelesaian Di Bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA)

29 Nov 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) amat bersimpati atas situasi yang menimpa tiga (3) orang pelajar yang dilaporkan telah terjatuh ketika menyusuri jambatan gantung untuk mendapatkan rangkaian Internet bagi mengikuti kelas dalam talian di Kampung Gusi baru-baru ini.

Kami sempat berjumpa dengan Ketua Kampung Gusi, Galam Abdullah untuk bertanyakan khabar mengenai keadaan ketiga-tiga pelajar berkenaan dan mendoakan agar mereka akan sembuh secepat mungkin.


Pengarah MCMC Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Izani Othman (dua dari kanan) berjumpa dengan Ketua Kampung Gusi, Galam Abdullah (tengah) bagi mendapatkan gambaran keadaan terkini ketiga-tiga pelajar yang terjatuh ketika cuba mendapatkan rangkaian Internet.

MCMC mengambil maklum tentang kejadian tersebut dan sebagai penyelesaian sementara telah mendapat sokongan daripada pihak Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTT) selaku State Backed Company negeri Sabah, anak syarikat milik penuh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada Kampung Gusi melalui teknologi VSAT.

Inisiatif ini merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat daripada pihak CTT. Pengurus Besar CTT, Law Chun Ming mengesahkan, pemasangan VSAT akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 15 Disember 2020.

Selain itu, tiga (3) menara telekomunikasi akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Lokasi-lokasi tersebut telah dinyatakan di dalam dokumen tender yang dikeluarkan oleh MCMC pada 20 November 2020.

Semua pelajar dinasihatkan untuk tidak membahayakan diri dalam usaha mencari capaian Internet.

PDF
Share this article
Follow