Media & Events

MCMC Terbitkan Laporan Rundingan Awam Pelaksanaan Kemudahalihan Nombor Talian Tetap (FNP) (Cont')

21 Jul 2021
MCMC TERBITKAN LAPORAN RUNDINGAN AWAM PELAKSANAAN KEMUDAHALIHAN NOMBOR TALIAN TETAP (FNP) DI MALAYSIA

CYBERJAYA, 21 Julai 2021 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan Laporan Rundingan Awam berhubung pelaksanaan Kemudahalihan Nombor Talian Tetap (FNP) di Malaysia.

Laporan Rundingan Awam yang diterbitkan ini merumuskan hasil rundingan dan keputusan MCMC berdasarkan maklum balas yang diterima. Laporan berkenaan dibahagikan kepada lima (5) bahagian iaitu:
a) Penanda aras antarabangsa;
b) Aspek teknikal FNP;
c) Kos pelaksanaan FNP;
d) Aspek prosedur FNP; dan
e) Langkah seterusnya.

Sesi Rundingan Awam tersebut membolehkan pihak MCMC untuk merangka langkah seterusnya berhubung FNP dan dasar penomboran tetap di Malaysia. FNP merujuk kepada keupayaan para pelanggan perkhidmatan talian tetap untuk mengekalkan nombor sedia ada sama ada beralih lokasi atau penyedia perkhidmatan yang lain. MCMC menjangkakan pelaksanaan FNP ini akan mewujudkan pasaran perkhidmatan talian tetap yang lebih berdaya saing bagi penyedia perkhidmatan untuk melabur meluaskan rangkaian perkhidmatan tetap dan memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Bagi merealisasikan pelaksanaan FNP, Kumpulan Kerja Industri (Industry Working Group - IWG) akan ditubuhkan untuk memuktamadkan butiran lanjut pelaksanaannya. MCMC melihat keperluan untuk membenarkan IWG untuk menetapkan garis masa pelaksanaan FNP yang bersesuaian bagi membolehkan para pengguna dapat menikmati FNP dengan secepat mungkin.

Untuk maklumat lanjut dan laporan penuh berhubung Laporan Rundingan Awam mengenai pelaksanaan Kemudahalihan Nombor Talian Tetap (FNP), sila layari pautan https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/PublicConsultation-Report-Implementation-of-FNP-in-Malaysia.PDF .


PDF
 
Share this article
Follow