Media & Events

MCMC Tingkatkan Usaha Lonjakan Agenda Pendigitalan Negara

21 Nov 2020
Penularan pandemik COVID-19 bukan sahaja telah mencetuskan satu keperluan mendesak untuk menangani norma baharu tetapi juga mempersiapkan rakyat untuk mendepani perubahan gaya hidup masa depan yang berlandaskan kepada inovasi dan teknologi. Malah, ia turut mempercepatkan pembangunan teknologi 4IR dan pelaksanaan ekonomi digital.

Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diperkenalkan baru-baru ini, bertindak sebagai asas kepada peralihan infrastruktur digital dengan matlamat untuk menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi pada kadar berpatutan untuk rakyat Malaysia.

Kelancaran dan kesalinghubungan digital yang inklusif menjadi asas penting kepada usaha memacu ekonomi digital Malaysia. Dalam konteks ini, ianya akan memberi impak kepada pelbagai pihak termasuklah industri-industri tradisional untuk mengadaptasi penggunaan teknologi selain meningkatkan kecekapan operasi mereka.

Pada masa yang sama, aktiviti-aktiviti ekonomi digital seperti e-dagang dan teknologi kewangan (fintech) akan bertambah pesat. Perniagaanperniagaan kini boleh menghubungi lebih ramai pelanggan dalam kawasan yang sebelum ini tidak pernah ditujui sebelum ini. Usahawan-usahawan kecil pula boleh memperluaskan perniagaannya, memandangkan mereka berupaya untuk memulakan aktiviti pemasaran digital di samping menjalankan transaksi perniagaan mereka secara digital.

MANFAAT UNTUK GENERASI MASA DEPAN NEGARA

Bagi generasi masa depan negara pula, Kerajaan komited dalam meletakkan aspek pendidikan sebagai pelaburan paling penting untuk memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik serta merapatkan jurang digital. Buktinya, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi tahun 2021 di bawah Belanjawan 2021 untuk memastikan kesalinghubungan di 430 buah sekolah seluruh negara.

Peruntukan sebanyak RM7.4 bilion turut diberikan oleh Kerajaan untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar. Manakala, pihak industri juga akan membuat pelaburan yang setanding atau lebih untuk kawasan bandar dan pinggir bandar. Proses fiberisasi ke atas sekolah-sekolah akan turut diberikan perhatian bagi memastikan proses ke arah digitalisasi adalah tersedia untuk para pelajar sekolah.

Sementara itu, program Jaringan PRIHATIN yang menelan belanja RM1.5 bilion akan dapat dimanfaatkan oleh kira-kira lapan (8) juta penduduk dari golongan B40 yang mana bantuan berkenaan boleh digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan dan memperluaskan jaringan Internet. Mereka akan menerima RM180 (RM15 sebulan) seorang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan Internet ataupun menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu

Bagi memastikan keperluan penduduk setempat dan golongan pelajar untuk mendapatkan perkhidmatan Internet, proses pemerkasaan Pusat Internet Komuniti (PIK) akan dilaksanakan di seluruh negara. Melalui proses tersebut, masalah kekurangan alat peranti, kemudahan Internet mahupun keselamatan pelajar untuk menimba ilmu dalam talian dapat ditangani. Penggunaan PIK juga akan dipertingkatkan melalui pertambahan kandungan atau kursus, bantuan dalam aspek pembungkusan dan pemasaran produk kepada golongan usahawan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

IMPAK KEPADA TENAGA KERJA


Penularan pandemik COVID-19 juga telah mempercepatkan pembangunan teknologi 4IR dan pelaksanaan ekonomi digital. Ini terbukti apabila potensi 4IR yang dipacu dengan teknologi Kecerdasan Buatan, pengkomputeran awan dan Internet of Things (IoT) turut digunakan dalam aktiviti pengeluaran, perkhidmatan dan perniagaan.

Penyediaan belanjawan sebanyak RM42 juta untuk menyediakan rangkaian gentian optik ke 25 kawasan perindustrian adalah langkah untuk memperkukuhkan infrastruktur bagi industri bergerak maju dalam digitalisasi perniagaan.

Bagi masyarakat amnya pula aplikasi penghantaran makanan bukan sahaja membuka peluang kepada rakyat dalam menghasilkan model perniagaan untuk menyara kehidupan semasa waktu yang sukar ini bahkan juga meningkatkan mobiliti mereka.

Banyak industri-industri tradisional dan golongan usahawan berupaya untuk mengecapi kesalinghubungan digital inklusif yang akan memberi impak kepada kelangsungan dan tahap kecekapan operasi mereka. Selain itu, lebih ramai usahawan akan berpeluang untuk memperluaskan perniagaan mereka, memasarkan produk-produknya secara dalam talian dan akhirnya memperolehi sumber pendapatan yang berlipat ganda.

Malah, penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini turut mencerminkan keseriusan Kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi digital bersifat inklusif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi 4IR.

Dengan adanya kesalinghubungan digital yang inklusif dan mantap melalui usaha-usaha pelbagai oleh pihak Kerajaan, usaha itu akan dapat menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di negara ini sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

PDF

Share this article
Follow