Media & Events

Membudayakan Amalan "Jika Tidak Pasti, Jangan Kongsi"

25 Apr 2018
CYBERJAYA, 25 April 2018 --- Pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha membanteras penyebaran berita palsu sejak kebelakangan ini bertujuan untuk menerapkan amalan “tidak pasti, jangan kongsi” dalam kalangan masyarakat apabila menerima sesuatu maklumat dan seharusnya dilihat daripada perspektif yang positif.

Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Dr. Mazlan Ismail menegaskan, penerapan budaya sedemikian adalah perlu memandangkan masih ada dalam kalangan masyarakat ketika ini yang cenderung untuk berkongsi apa sahaja maklumat yang diterima tanpa membuat tapisan terlebih dahulu.

Menurut beliau, sikap tersebut jika dibiarkan berterusan adalah berbahaya dan boleh memberi impak yang cukup buruk bukan sahaja kepada individu, reputasi sesebuah organisasi bahkan juga kepada kesejahteraan negara, seandainya tidak ditangani secara berhemah.

“Hakikatnya, terdapat banyak contoh kes yang mana maklumat-maklumat palsu menjadi tular di media sosial. Begitu juga dengan berita-berita lama yang dikitar semula untuk tujuan-tujuan tertentu.

“Apa yang dipaparkan dalam Internet ataupun media sosial tidak semestinya benar belaka. Oleh itu, pengguna Internet perlulah bijak menilai dan menganalisis sesuatu maklumat yang diterima, celik fakta serta menentusahkannya dengan sumber rasmi terlebih dahulu seperti portal atau app sebenarnya.my,” katanya.
Dalam usaha untuk menangani ancaman berita palsu dan melindungi kepentingan masyarakat, Datuk Dr. Mazlan memberitahu, pihak MCMC telah mengambil pendekatan berbilang serampang merangkumi aspek advokasi, pemantauan dan penguatkuasaan. Antaranya, pelancaran portal dan app sebenarnya.my yang kini menjadi sumber rujukan utama dalam kalangan masyarakat dan agensi kerajaan untuk menentusahkan berita-berita yang tular.
Selain itu, kerjasama strategik turut dijalinkan dengan pelbagai pihak seperti agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan media bagi memastikan mesej utama iaitu berita palsu musuh negara dan tidak pasti, jangan kongsi sampai kepada semua lapisan masyarakat.

Dari aspek penguatkuasaan pula, MCMC turut memantau dan menyiasat akaun-akaun media sosial yang diwujudkan untuk menyebar kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, jelik dan mengancam selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Sehingga akhir 2017 yang lalu, sebanyak 40 kes berita palsu telah disiasat dan daripada jumlah tersebut, 10 kes telah didakwa di mahkamah. Manakala, siasatan diteruskan dengan kerjasama semua agensi kerajaan yang lain untuk baki kes-kes yang lain.

TAMAT
Share this article
Follow