Media & Events

MyCommunity Heroes Beri Nilai Tambah Kepada Kualiti Hidup Komuniti

07 Mar 2018
KEMAMAN,  7 Mac 2018 --- Pertandingan MyCommunity Heroes, sebuah program perintis yang memberi pendedahan kepada guru dan para pelajar mengenai keusahawanan sosial bukan sahaja mampu memberi nilai tambah kepada kemahiran seseorang bahkan juga memberi impak menyeluruh kepada kualiti kehidupan sesebuah komuniti.  

Melalui kemahiran dan ilmu yang dipelajari di dalam pertandingan berkenaan, ia boleh dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu dalam komuniti sekaligus mendatangkan manfaat kepada negara. Pertandingan tersebut juga sebagai menyokong objektif pelaksanaan inisiatif Komuniti Pintar bagi meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti dengan memanfaatkan teknologi ICT.  
Dianjurkan oleh MCMC, pertandingan tersebut yang diadakan buat julung kalinya di Kemaman, menyaksikan penyertaan sebanyak empat buah sekolah di daerah berkenaan iaitu SMK Chukai, SMK Kerteh, SMK Mak Lagam dan SM Imtiaz Yayasan Terengganu.    

Pada pertandingan berkenaan, SMK Chukai muncul sebagai juara dalam pertandingan program MyCommunity Heroes dengan mengetepikan saingan tiga buah sekolah lain dengan hasil projek mereka iaitu penyediaan ruang belajar dan santai di blok asrama.  SMK Mak Lagam pula muncul sebagai naib johan dengan projek “Golden Cat Cinema” sementara hadiah saguhati pula dimenangi oleh SMK Kerteh dan SM Imtiaz Yayasan Terengganu yang mengetengahkan projek bahan kitar semula.  

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang untuk pertandingan tersebut yang berlangung di Dewan SMK Chukai baru-baru ini, telah disempurnakan oleh Pengarah MCMC Wilayah Timur, Md Rusli b. Hj Ahmad.   

Turut diraikan pada majlis berkenaan adalah para pemenang pertandingan Majalah Sekolah Digital 2017 peringkat daerah Kemaman.   


WAJAH-WAJAH GEMBIRA....Para pemenang untuk pertandingan MyCommunity Heroes dan Majalah Sekolah Digital 2017 bersama-sama dengan hadiah kemenangan mereka, pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan SMK Chukai, baru-baru ini.   
Share this article
Follow