Media & Events

Pemancar Berteknologi Terkini Buat Kali Pertama Untuk Beri Liputan 4G (Cont')

11 Dec 2020
PEMANCAR BERTEKNOLOGI TERKINI DIGUNAKAN BUAT KALI PERTAMA UNTUK BERI LIPUTAN 4G KEPADA PENDUDUK LADANG UP BAHAGIAN BUKIT SELAMBAU
 
Teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) digunakan buat pertama kali di Semenanjung Malaysia bagi menyelesaikan masalah liputan yang dialami penduduk Ladang UP Bahagian Bukit Selambau, Kedah. MOCN ialah teknologi pemancar terkini yang membolehkan keempat-empat penyedia perkhidmatan iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile menggunakan hanya satu set peralatan untuk memberikan perkhidmatan 4G di situ sejak beberapa hari lalu.
 
Peralatan itu dipasang pada menara sementara setinggi 30 meter yang dibina khas untuk menyelesaikan masalah penduduk kawasan ini. Selain menjimatkan masa dan kos peralatan, teknologi MOCN memberi kualiti perkhidmatan yang baik. 
 
Usaha pembinaan infrastruktur dapat dilaksanakan dengan kadar segera kerana mendapat kerjasama penuh daripada pihak Kerajaan Negeri Kedah dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK). Pendekatan yang dilakukan adalah kelulusan khas yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk memulakan kerja pembinaan lebih awal sementara menunggu kelulusan penuh daripada MPSPK. 
 
Tinjauan dalam kalangan penduduk jelas menunjukkan kegembiraan mereka apabila capaian jalur lebar yang kini dianggap sebagai keperluan asas sudah dapat dinikmati untuk melancarkan pelbagai urusan. Berikut ialah petikan luahan hati beberapa orang penduduk yang ditemui:-  
 
“Saya berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada MCMC. Selepas ini saya tidak perlu risau akan ketinggalan dalam isu-isu semasa yang berlaku di dunia ini. Di samping itu, saya juga berharap dengan adanya kemudahan Internet ini saya mungkin boleh cuba untuk sambung pelajaran pascasiswazah atau pun mengambil kursus-kursus kemahiran online.”
 
Barathidhasa a/l Veerapan, 26 tahun
 
 "Saya seorang penternak ayam daging. Dulu saya stres untuk membuat transaksi duit dengan syarikat pembekal ayam. Ada kala saya tidak mampu balas e-mel daripada pihak syarikat tersebut. Ada juga waktu saya terlepas pengumuman penting berkenaan penternakan yang dikeluarkan oleh syarikat pembekal dan pihak kerajaan. Tapi, selepas adanya kemudahan Internet ini saya berasa lega."
 
Venggadeswaran a/l Subramaniam, 26 tahun
 
“Saya pelajar dari PICOMS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam membantu menyelesaikan masalah kami. Selepas ini, tidak akan ada lagi masalah untuk saya belajar dan menghadiri kelas online dan saya tidak perlu bersusah payah lagi untuk keluar atau menaiki bukit untuk mencari line. Bukan saya sahaja, malahan adik-adik saya serta kawan-kawan yang lain juga turut gembira kerana adanya liputan talian. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan. Jasa anda amat kami hargai.
 
Siti Nor Dalilawati binti Syahrin, 20 tahun

MCMC berharap kerjasama lebih erat dengan semua pihak khususnya setiap kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), seperti yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Kedah dan MPSPK dapat diberikan di semua Negeri dan PBT lain bagi membantu menyegerakan pelaksanaan oleh MCMC untuk memperluaskan liputan 4G ke setiap pelosok negara di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA). Salah satu aspirasi utama JENDELA ialah menyediakan perkhidmatan 4G kepada 96.9% kawasan berpenduduk menjelang akhir 2022.

PDF 
Share this article
Follow