Media & Events

Pembangunan Majalah Sekolah Digital Raih Pengiktirafan Antarabangsa

27 Mar 2018
GENEVA, 27 Mac  2018 --- Inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam membangunkan Majalah Sekolah Digital (e-majalah), mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai juara di bawah Kategori Akses kepada Maklumat dan Pengetahuan pada Sidang Kemuncak ‘World Summit On the Information Society’ (WSIS 2018), yang berlangsung di Geneva, baru-baru ini.
 
Pembangunan Majalah Sekolah Digital (e-Majalah) adalah antara lima projek yang tersenarai yang mendapat undi tertinggi daripada 30 projek yang disenaraikan dalam kategori yang sama.  
 
Proses pemilihan projek tersebut telah memakan masa selama lima bulan yang mana para peserta dari seluruh dunia mula menghantar projek masing-masing bermula dari 11 September 2017 sehingga 10 Januari 2018. Manakala proses pencalonan projek melalui undian dalam talian pula bermula dari 29 Januari 2018 sehingga 18 Februari 2018. Ini diikuti pula dengan ulasan menyeluruh oleh kumpulan pakar yang mengetuai pemilihan 90 projek-projek dan inisiatif-inisiatif berkaitan ICT bagi kesemua 18 kategori yang dipertandingkan.
 
e-Majalah yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Komuniti Pintar untuk menjana kreativiti dan inovasi dalam kalangan warga guru dan pelajar dalam ICT, setakat ini telah berjaya melatih seramai 161 orang guru dan 91 pelajar daripada 161 sekolah di daerah Kemaman, Lundu, Kota Belud dan Putrajaya sejak diperkenalkan pada tahun 2015 yang lalu.
 
Kejayaan terbaru yang dikecapi oleh MCMC ini menyusul selepas kejayaan Inisiatif Komuniti Pintar pada Sidang Kemuncak WSIS 2016 apabila Projek Kemaman Komuniti Bestari, telah disenaraikan sebagai satu daripada lima projek yang memperoleh undian tertinggi daripada 27 projek yang disenaraikan di bawah Kategori Infrastruktur Maklumat dan Komunikasi.
Share this article
Follow