Media & Events

Pembekuan (Moratorium) Pemberian Lesen Baharu Perkhidmatan Kurier (Con't)

26 Oct 2020
PEMBEKUAN (MORATORIUM) PEMBERIAN LESEN BAHARU PERKHIDMATAN KURIER DI BAWAH AKTA PERKHIDMATAN POS 2012

CYBERJAYA, 26 Oktober 2020 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan persetujuan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah membuat keputusan untuk membekukan (Moratorium) pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier selama dua (2) tahun bermula 14 September 2020 sehingga 15 September 2022.

Keputusan ini dibuat menerusi kuasa pelesenan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 dan boleh disemak semula pada bila-bila masa berdasarkan keperluan.

Semasa tempoh moratorium berkuat kuasa, MCMC tidak akan menerima permohonan lesen baharu semua kategori untuk menjalankan perkhidmatan kurier. Permohonan yang diterima sebelum tarikh kuat kuasa moratorium dan permohonan pembaharuan lesen sedia ada akan diproses untuk kelulusan. Setakat Oktober 2020, terdapat 109 pemegang lesen perkhidmatan kurier pelbagai kategori yang beroperasi di Malaysia.

Moratorium dilaksanakan untuk memberi laluan kepada Kerajaan bersama industri pos dan kurier membuat perancangan baharu bagi memperkukuhkan sektor tersebut yang berdepan pelbagai cabaran akibat perubahan teknologi dan trend pasaran. Langkah ini juga sejajar dengan gesaan rasmi yang dihantar oleh Persatuan Syarikat Penghantar Ekspress Malaysia (AMEC) sejak Ogos lalu. AMEC ialah gabungan 25 syarikat kurier utama di Malaysia termasuk Pos Malaysia Berhad, GD Express Sdn. Bhd., City-Link Express (M) Sdn. Bhd. dan lain-lain.

Proses merangka pelan tindakan baharu akan dilaksanakan menerusi penganjuran Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) yang bakal berlangsung selama tiga (3) minggu, bermula 2 sehingga 22 November 2020 (tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan).

Apabila siap nanti, laporan penuh yang mengandungi cadangan pelan tindakan bagi menyokong aspirasi pembangunan strategik industri pos dan kurier baharu itu akan dimuat naik dalam laman sesawang MCMC untuk rujukan semua.

Hasil NPCIL penting untuk industri ini yang menjadi teras kepada aktiviti e-dagang dan pembangunan ekonomi digital yang menghadapi pelbagai cabaran baharu yang dicetuskan oleh ledakan teknologi yang mengakibatkan percantuman sektor logistik, platform e-dagang, ehailing dan sistem transaksi kewangan. Kajian terakhir mengenai industri pos dan kurier dilakukan pada tahun 2009.

PDF
Share this article
Follow