Media & Events

Penjelasan Terhadap Isu Kompaun Ke Atas Pengulangan Siaran Dokumentari Oleh Measat Broadcast

23 Jul 2020
PENJELASAN TERHADAP ISU KOMPAUN KE ATAS PENGULANGAN SIARAN DOKUMENTARI OLEH MEASAT BROADCAST

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin menjelaskan bahawa aduan ulangan siaran dokumentari Murder in Malaysia|101 East di saluran 513 Astro telah disiasat kerana pelanggaran syarat lesen pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan (individu) [CASP-I] di bawah Seksyen 206(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98).

Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 31 Disember 2015. MCMC telah diarah pada 5 Januari 2016  untuk mendakwa Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd di bawah Seksyen 211 AKM 98 atas kesalahan memberi kandungan yang jelik sifatnya dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang.

Pada 8 Januari 2016, MCMC telah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mempertimbangkan semula keputusan mendakwa, sebaliknya mencadangkan Measat Broadcast dikompaun. Cadangan itu telah dipersetujui dan MCMC diarahkan untuk menyediakan izin mengkompaun serta menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan.

Kes telah ditaklimatkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 30 April 2019 dan 4 Jun 2020. Arahan mengkompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 23 Jun 2020. Tawaran mengkompaun bertarikh 1 Julai 2020 telah dikeluarkan oleh MCMC terhadap Measat Broadcast atas kesalahan melanggar Seksyen 211 AKM 98. Measat Broadcast mempunyai pilihan untuk menerima tawaran kompaun, mengemukakan rayuan atau menolak tawaran kompaun. 

PDF
Share this article
Follow