Media & Events

Pos Malaysia Juara Keseluruhan Karnival #SampaiDenganSelamat 2015

13 Sep 2015

CYBERJAYA, 13 September 2015 --- Karnival #SampaiDenganSelamat edisi kedua anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berakhir hari ini, telah menyaksikan penyertaan menyeluruh daripada warga kerja pos dan kurier seluruh negara dalam kejohanan berkenaan.
Penyertaan menyeluruh dalam kalangan pekerja pos dan kurier menurut Ketua Bahagian Pos dan E-Dagang MCMC, Mohamed Zaidi Abdul Karim bukti bahawa warga kerja pos dan kurier negara semakin prihatin terhadap aspek keselamatan mereka ketika bertugas.
Tegas beliau, penekanan kepada konsep 'Safety-First' adalah tepat pada masanya menyedari bahawa pemandu dan penunggang syarikat pos dan kurier adalah tunjang penggerak e-dagang di negara ini.
Sepanjang dua hari berlangsungnya karnival berkenaan, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan. Antaranya, Kejohanan Sampai Dengan Selamat yang menyaksikan syarikat-syarikat pos dan kurier menghantar wakil pemandu dan penunggang terbaik mereka untuk menyertai kejohanan ini. Sepanjang kejohanan tersebut, mereka diuji dengan uji teori keselamatan jalan raya, pengendalian kenderaan serta juga kemahiran dan sikap mereka di atas jalan raya.
Pada Kejohanan Sampai Dengan Selamat 2015 ini, Pos Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan apabila meraih tempat pertama dalam kategori penunggang motosikal dan pemandu van. Kategori penunggang motosikal menyaksikan Syarulizuan Mohd Syarif meraih tempat pertama manakala Andy Dunya dari SF Global dan Asmawi Ahmad dari GDEX masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Kategori pemandu van pula menyaksikan Mohd Asyraf Abdul Rahim dinobatkan sebagai juara sementara Mohd Muzhafar Mohd Md Zuki dari Yamato di tempat kedua. Tempat ketiga pula disandang oleh Ali Imran dari TNT Express.
Majlis penyampaian hadiah tersebut disempurnakan oleh Ketua Bahagian Pos dan E-Dagang MCMC, Mohamed Zaidi Abdul Karim. Selain aktiviti fiesta food truck, demonstrasi droneinflatable castle challenge dan pertunjukan automatif, para pengunjung juga berkesempatan berjumpa dengan lebih 50 usahawan-usahawan dalam talian dengan lebih dekat.
Share this article
Follow