Media & Events

Pusat Internet 1Malaysia Dan Ejen Berdaftar Pos Dilancarkan Di Niah Suai, Miri

19 Apr 2016

NIAH SUAI, 19 APRIL 2016 --- Masyarakat setempat di daerah Niah Suai kini berpeluang menikmati kemudahan internet jalur lebar secara kolektif melalui Pusat Internet 1Malaysia yang diwujudkan di Niah Suai, di bawah inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC).
 
Pusat Internet 1Malaysia ini akan memberi peluang kepada komuniti di Niah Suai untuk mempelajari teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan lebih mendalam melalui bengkel dan latihan yang disediakan, selain dapat menggunakan kemudahan internet jalur lebar dalam melaksanakan pelbagai urusan seharian mereka.
 
Pusat Internet 1Malaysia ditubuhkan bertujuan untuk merapatkan jurang digital antara komuniti bandar dan luar bandar. Selain itu, Pusat Internet 1Malaysia juga dapat meningkatkan taraf kehidupan dan sosioekonomi bagi komuniti setempat melalui platform ICT dan capaian kepada informasi yang lebih cepat dan berkesan. Melalui Pusat Internet 1Malaysia ini juga, lebih ramai usahawan dalam talian yang dapat dilahirkan.
 
Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia Niah Suai tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Jailani Johari sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Komunikasi, Perkhidmatan Digital dan Sektor Standard MCMC, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus serta masyarakat sekitar Niah Suai.
 
Turut dilancarkan pada majlis berkenaan ialah khidmat Ejen Pos Berdaftar di Pusat Internet 1Malaysia Niah Suai yang merupakan inisiatif baharu pihak MCMC dan Pos Malaysia bagi memperkasakan lagi kemudahan pos luar bandar di Sarawak, di samping pelbagai inisiatif lain yang sudah dilaksanakan seperti Pejabat Pos Bergerak dan Posmen Komuniti.
 
Melalui Ejen Berdaftar Pos, urusan pengeposan dan penerimaan barangan Pos Laju akan menjadi lebih mudah terutamanya kepada mereka yang aktif dalam urusan menjual dan membeli secara dalam talian. Melalui inisiatif-inisiatif pos luar bandar pula, kualiti kehidupan rakyat sedikit sebanyak dapat ditingkatkan serta beban kos perjalanan ulang-alik ke pejabat pos yang perlu ditanggung penduduk dapat dikurangkan.
 
Sebanyak 95 buah Pusat Internet 1Malaysia telah pun beroperasi di Sarawak setakat akhir bulan Mac yang lalu.
 
 
TAMAT

Share this article
Follow