Media & Events

Skuad HADiR MCMC Turun Padang Bersihkan Sekolah-Sekolah Terjejas Banjir Di Kelantan

26 Dec 2019
  • MCMC dengan kerjasama NADMA, Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan serta pihak industri telekomunikasi, penyiaran, pos dan kurier giat menghulurkan bantuan kemanusiaan dan pemulihan bencana melalui Skuad HADiR
  • Empat (4) buah sekolah di Pasir Mas, Kelantan telah dibersihkan secara gotong-royong melibatkan sejumlah 350 sukarelawan skuad HADiR, agensi-agensi kerajaan dan masyarakat tempatan
 
CYBERJAYA, 26 Disember 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan serta pihak industri telekomunikasi, penyiaran, pos dan kurier telah turun padang membersihkan sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
 
Usaha ini adalah misi keempat bawah inisiatif Bantuan Kemanusiaan dan Pemulihan Bencana (Humanitarian Assistance & Disaster Relief atau HADiR) di mana seramai 150 orang sukarelawan bencana mewakili MCMC dan industri telekomunikasi serta industri pos/kurier seperti Celcom, Digi, Maxis, Time, TM, U Mobile, City-Link Express, GD Express, J&T Express (Malaysia), Line Clear Express & Logistics, Pos Malaysia dan SkyNet Malaysia, telah bergabung dengan 200 orang sukarelawan peringkat daerah mewakili agensi-agensi kerajaan dan komuniti tempatan.
 
Seawal 8.30 pagi, mereka telah menggembleng tenaga bergotong-royong membersihkan empat buah sekolah yang terjejas akibat banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong, Sekolah Kebangsaan Bakong, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Khairiah Banggol Setol dan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Alfalah Siram.
 
Sementara itu, Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak hadir ke Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong bagi menyerahkan bantuan kepada 950 mangsa banjir daripada tiga Pusat Pemindahan Sementara (Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong, Sekolah Kebangsaan Bakong dan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Khairiah Banggol Setol). Beliau turut menghulurkan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 1,326 murid daripada keempat-empat sekolah yang terjejas.
 
Menurut Al-Ishsal, “Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban penduduk yang terjejas akibat banjir, terutamanya ibu bapa untuk membeli barang keperluan harian dan dapur, serta membuat persiapan ke sesi persekolahan tahun 2020 yang akan bermula tidak lama lagi. Terima kasih saya tujukan kepada semua yang terlibat menjayakan misi bantuan kemanusiaan HADiR dan usaha ini akan diteruskan secara berperingkat ke negeri-negeri lain yang memerlukan bantuan dari semasa ke semasa.”
 
Skuad HADiR juga telah membantu keluarga-keluarga yang ditimpa musibah banjir semenjak awal Disember 2019 di daerah Pasir Mas, Kelantan yang mencatatkan paling ramai mangsa banjir iaitu hampir 9,373 orang.
 
Misi pertama Skuad HADiR telah bermula pada 6 Disember dengan penghantaran bekalan bencana kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan melalui usahasama pihak MCMC, NADMA, Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), pihak industri telekomunikasi, pos dan kurier melibatkan konvoi enam buah trak pengangkut milik syarikat-syarikat pos dan kurier dengan muatan 52 tan barangan sumbangan industri.
 
Konvoi misi bantuan kemanusiaan tersebut yang terdiri daripada sukarelawan-sukarelawan dan aset-aset termasuk enam (6) lori hasil sumbangan syarikat-syarikat pos dan kurier City-Link Express, GD Express Sdn Bhd, J&T Express, Line Clear Express & Logistics Sdn Bhd, Pos Malaysia dan Skynet Malaysia telah berlepas daripada Depoh Simpanan Pertahanan (DSP), Sungai Buloh.
Turut terlibat dalam misi tersebut adalah syarikat-syarikat telekomunikasi Digi dan U Mobile di mana mereka telah menyumbangkan power bank, air minuman, selimut, kit penjagaan diri, serta barang kegunaan harian yang lain.
 
Ini disusuli dengan misi Skuad HADiR kedua pada 8 Disember yang diterajui oleh MCMC dengan sokongan industri telekomunikasi di kawasan pantai timur yang telah turun padang ke Pusat Internet (PI) Kajang Sebidang di daerah Tumpat, Kelantan bagi melaksanakan aktiviti pembersihan premis PI berkenaan, di samping penyerahan bantuan barangan bekalan harian kepada penduduk di kawasan sekitar.
 
Selain daripada menyalurkan bantuan kepada masyarakat, MCMC juga telah menghulurkan sumbangan asas kepada kakitangan-kakitangan syarikat POS Malaysia Kelantan yang turut terjejas akibat banjir.
 
Pada 20 Disember lalu, misi ketiga Skuad HADiR telah diperluaskan lagi ke daerah Kota Tinggi, Johor. Seramai 150 sukarelawan industri dengan kerjasama Pejabat ADUN Johor Lama telah bergotong-royong membersihkan beberapa buah rumah di Kota Tinggi, Johor.

PDF
Share this article
Follow