Media & Events

Syarikat-Syarikat Telekomunikasi Hulur Sumbangan RM6 Juta Kepada Barisan Hadapan (Con't)

05 Nov 2020
SYARIKAT-SYARIKAT TELEKOMUNIKASI HULUR SUMBANGAN RM6 JUTA KEPADA BARISAN HADAPAN DAN RAKYAT MALAYSIA YANG TERKESAN DENGAN COVID-19

KUALA LUMPUR, 5 November 2020 --- Pihak industri telekomunikasi negara sekali lagi menggembleng tenaga dan berganding bahu dalam memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan, kali ini kepada barisan hadapan dan rakyat Malaysia yang terkesan teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

Menerusi penganjuran kempen ‘To Malaysia With Love’, syarikatsyarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), TIME dan U Mobile telah sepakat menghulurkan sumbangan wang tunai RM6 juta melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) atau GDRN yang diterajui oleh Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad dan TM. Ini merupakan kali kedua syarikat-syarikat telekomunikasi menghulurkan sumbangan kepada GDRN.

Pihak GDRN dan Malaysian Coordination & Action Hub (MATCH) akan bertindak menyelaraskan sokongan oleh pihak industri telekomunikasi bagi membantu Kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat COVID19.

Majlis penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah dalam satu majlis ringkas di Kuala Lumpur.

Selain sumbangan wang tunai melalui GDRN, kebanyakan syarikat telekomunikasi turut melanjutkan penawaran Internet percuma sebanyak 1GB setiap hari dan ia terpakai untuk data mudah alih bagi tujuan pembelajaran dan produktiviti di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga 31 Disember 2020 di samping memperkenalkan pakej-pakej khas.


ENAM syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, TIME dotcom dan U Mobile menyerahkan sumbangan sebanyak RM6 juta kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah pada satu majlis ringkas di Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM, Encik Tan Chuan Ou (kiri) dan Pengerusi MCMC, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek (kanan).

Bagi pakej-pakej khas pula, Celcom umpamanya bekerjasama rapat dengan Malaysian Relief Agency (MRA) sejak April 2020 untuk menyalurkan bantuan seperti bekalan makanan kepada golongan B40 yang menetap di kawasan yang terkesan teruk akibat COVID-19 di Sabah. Sebagai menyokong keperluan kesalinghubungan, Celcom juga menyediakan pelan Internet bagi kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pek SIM prabayar XPAX di pusat-pusat kuarantin seluruh negara.

Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) pula memperkenalkan Pakej JENDELA Belia Sabah merangkumi produk Digital Prepaid NEXT yang menawarkan akses Internet tanpa had dan panggilan kepada semua rangkaian. Maxis pula telah memberi sokongan kepada Kerajaan melalui inisiatif untuk memerangi pandemik COVID-19. Dengan kerjasama KKM, Maxis telah menyediakan perkhidmatan kesalinghubungan bagi hospital serta pihak berkuasa, dan juga berkolaborasi bersama Kerajaan Negeri untuk memberikan sokongan komunikasi terutamanya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagi membantu golongan pelajar sekolah Sabah agar tidak ketinggalan dalam sesi pembelajarannya, U Mobile menjalin kerjasama dengan sebuah platform pendanaan awam iaitu Hanafundme. Di bawah inisiatif itu, U Mobile menjalinkan kerjasama dengan Huawei untuk menaja sebanyak 60 peranti mudah alih lengkap dengan pelan pascabayar GX68 untuk tempoh selama setahun, yang akan dimanfaatkan oleh para guru dan pelajar yang memerlukan di kawasan pedalaman di Penampang, Ulu Papar dan Tamparuli.

Sementara TM pula menyediakan sambungan perkhidmatan jalur lebar 100Mbps di Hospital Medan ATM Tawau dan 800Mbps di pusat kuarantin dan PPR Bubul Ria, Semporna. Turut dihulurkan ialah sumbangan bernilai lebih RM5.8 juta untuk usaha-usaha CSR di hospital, pusat kuarantin, pembelian bekalan perubatan dan keperluan asas melalui pelbagai sumber seperti Tabung COVID-19 kerajaan, GDRN, zakat TM, tabung sumbangan peribadi Warga TM dan TM Family Care Packages. Manakala, dana yang disumbangkan kepada GDRN oleh TIME dotCom digunakan untuk membeli bekalan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan ventilator.

Inisiatif syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut dalam menghulurkan sumbangan kepada barisan hadapan dan rakyat di seluruh negara yang terkesan disambut baik. Sesungguhnya, tindakan itu mencerminkan keprihatinan pihak industri telekomunikasi terhadap kesusahan yang dihadapi oleh golongan terbabit.

Sumbangan yang diberikan amat besar maknanya buat barisan hadapan dan rakyat Malaysia yang terkesan dan menjadi harapan semua agar sumbangan tadi sedikit sebanyak meringankan kesusahan yang dihadapi oleh mereka dalam detik-detik sukar ini.

PDF
 
Share this article
Follow