Media & Events

Transformasi Pusat Internet (PIK) Lahirkan Lebih Ramai Usahawan Berdaya Maju

25 Sep 2020
Pusat Internet Komuniti (PIK) bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat negara ini, khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Perkhidmatan yang disediakan di PIK khususnya latihan ICT dan pembelajaran melalui Internet telah banyak membantu mereka agar tidak ketinggalan dalam dunia yang kian digital. Lebih-lebih lagi dalam suasana norma baharu akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini, perkhidmatan kerajaan, perbankan dan perniagaan telah beralih kepada platform di alam maya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan proses transformasi ke atas 1,064 PIK di seluruh negara. Proses transformasi ini akan memfokuskan kepada tindakan PIK sebagai pusat yang bukan sahaja mampu menjana pekerjaan baharu, memacu pertumbuhan aktiviti e-dagang malahan juga menyediakan lebih banyak perkhidmatan dalam talian untuk kemudahan rakyat.

Melalui pelbagai latihan dan program yang dianjurkan di PIK, golongan usahawan kecil ini telah dapat menambah pendapatan dan memperluaskan pasaran produk mereka secara dalam talian.

Di PIK Teluk Rimba, Muar, Johor, usahawan-usahawan kecil sekitar bandar Muar telah juga telah mendapat manfaat daripada program-program latihan yang dijalankan di pusat tersebut.

Usahawan yang bermula secara kecilkecilan kini telah berjaya memasarkan produk mereka sehingga ke luar negara menerusi media sosial. Antara produk-produk yang semakin mendapat perhatian termasuk cendol, karipap mini dan otak-otak. Usahawan-usahawan kecil di PIK Taman Desa Permai di Marang, Terengganu pula telah memanfaatkan latihan yang disediakan di pusat tersebut sehingga mereka dapat membesarkan perniagaan dan membuka peluang kerja kepada penduduk setempat. Antara produk usahawanusahawan kecil yang dibantu oleh PIK tersebut termasuklah perniagaan pisang goreng, cendol, kek dan perkhidmatan ejen pelancongan.

Manakala di Yan, Kedah, usahawan-usahawan kecil yang mengeluarkan produk rempah, pes, inap desa, tudung, pekasam dan pelancongan sukan paragliding telah memanfaatkan latihan yang dijalankan di PIK Kg Titi Teras. Di PIK tersebut, mereka berjaya meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam bidang keusahawanan sekaligus meluaskan pasaran serta promosi produk mereka.

PIK di Kiulu, Sabah juga telah membantu usahawan-usahawan kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan pelbagai program dan latihan yang disediakan. Di PIK Kg Malanggang Baru, terdapat usahawan yang mengusahakan tanaman akuaponik dan produk pelancongan seperti homestay dan rekreasi seperti berakit.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah, telah berkesempatan untuk melawat ke PIK Rantau Panjang di Sibu, Sarawak. “Hasil pemerhatian saya mendapati, produk-produk yang dipamerkan mempunyai potensi yang cukup baik untuk diperkembangkan. Menerusi bimbingan dan strategi yang betul, saya yakin produk-produk tersebut boleh dipasarkan secara meluas dan memberi pulangan yang lumayan kepada usahawan-usahawan berkenaan,” jelas beliau.

PDF
Share this article
Follow