Media & Events

Waspada Ketika Melayari Laman Cari Teman Seperti Sugarbook Yang Sedang Disiasat

15 Feb 2021
Internet dan aplikasi Internet membuka ruang kepada komunikasi yang lebih luas dan terbuka termasuklah aktiviti-aktiviti tidak bermoral seperti penganjuran parti liar, hubungan terlarang dan aktiviti bertentangan dengan undang-undang seperti penyediaan khidmat pelacuran dalam talian. Kes sedemikian disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kanun Keseksaan.

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil berat dengan gimik pemasaran laman cari teman Sugarbook baru-baru ini yang mendakwa semakin ramai wanita Malaysia, terutamanya penuntut universiti, menawarkan diri sebagai Sugar Baby di laman aplikasi tersebut. Dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati untuk tujuan-tujuan yang berlainan termasuk untuk memperdaya mangsa.

Selain daripada Sugarbook, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan “dating service” atau percintaan dalam talian. Pengguna harus sedar bahawa mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri. Risiko scam percintaan (love scam) akan tertambah dengan terdedah juga kepada malware dan spyware, kebocoran maklumat peribadi dan gangguan seksual.

Sehubungan itu, MCMC ingin menasihatkan pengguna aplikasi internet agar sentiasa berhati-hati memberikan maklumat peribadi ketika melayari media sosial atau aplikasi dalam talian, terutamanya untuk berhubung dengan orang-orang yang tidak dikenali contohnya di laman pencarian teman.

MCMC akan terus memantau and menyiasat bersama PDRM aplikasi Sugarbook dan akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini. Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh PDRM. Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk sentiasa mengawasi tingkah laku dalam talian anak di bawah jagaan masing-masing dan peka dengan perubahan gaya hidup yang boleh menimbulkan keraguan.


PDF
Share this article
Follow