Media & Events

Waspada Terhadap Penipuan Dan Hasutan Yang Dicetuskan Akaun Media Sosial Palsu

20 Nov 2020
Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap akaunakaun palsu di media sosial yang sengaja diwujudkan untuk tujuan penipuan dan hasutan. Selain mencetuskan permusuhan, perpecahan dan suasana tidak tenteram melalui hasutan, akaun palsu juga digunakan untuk kegiatan penipuan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit saban tahun. 

Sebahagian besar akaun palsu dapat dikenal pasti melalui ciri-ciri berikut:- 
i)  Baru diaktifkan dalam tempoh beberapa bulan.      
Akaun baharu kerap diwujudkan bagi mengaburi jejak daripada pihak berkuasa atau pembongkaran oleh mangsa penipuan sebelum ini.
 
ii)  Nama pemilik akaun seolah-olah bukan nama sebenar.      
Nama yang digunakan ialah nama samaran atau nama orang terkenal.  

iii) Maklumat peribadi meragukan.      
Biodata disembunyikan atau tidak realistik.  

iv)  Gambar profil tidak berkaitan dengan identiti.        
Gambar yang digunakan berbentuk abstrak atau dicuri daripada profil orang lain. Sila gunakan carian Google Images untuk mengesan gambar lain yang berkaitan.   

v)  Senarai rakan yang terlalu sedikit.      
Akaun palsu mempunyai senarai rakan yang sedikit atau tiada langsung kerana tujuan akaun dibuka bukan untuk perkenalan jangka panjang. Kemungkinan akaun dalam senarai rakan adalah juga akaun palsu. 
  
vi)  Aktiviti akaun tiada langsung kisah berkaitan peribadi.      
Terlalu sedikit catatan dinding (wall post). Kebanyakan kandungan hanya perkongsian ulasan dan bahan yang diambil atau dikongsi daripada orang lain.  

vii) Likes/Following yang tidak seimbang.        
Terlalu banyak likes hantaran orang lain di pelbagai topik dan kumpulan. Terlalu sedikit likes di halaman sendiri.  

viii) Sering terperam untuk tempoh yang tertentu.        
Hanya aktif sekali-sekala dan kadangkala dinyah aktif.  

Orang ramai perlu lebih berhati-hati jika terdapat lebih daripada satu ciriciri yang dinyatakan di atas ketika berurusan melalui akaun media sosial yang baru dikenali, terutamanya jika melibatkan transaksi kewangan atau aktiviti jual beli. Penjenayah siber dikesan menggunakan pelbagai taktik licik untuk menjalankan penipuan, termasuk ada yang menyamar menggunakan profil ahli keluarga, kenalan mangsa, orang kenamaan atau individu serta syarikat terkenal. 

Selain itu, jauhkan diri daripada memperkatakan isu sensitif berkaitan agama, kaum, institusi diraja dan politik yang cuba diapi-apikan oleh pemilik akaun palsu. Langkah ini dapat melindungi orang ramai daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dengan kenyataan berunsur fitnah, hasutan atau menggugat ketenteraman awam. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain yang berkaitan boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat salah guna Internet dan media sosial untuk tujuan jenayah atau hasutan. Bantuan teknikal dan pangkalan data turut diperolehi daripada agensi-agensi antarabangsa khususnya Interpol bagi mengesan penjenayah siber.   
Orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan peka kepada percubaan menipu oleh mereka yang tidak mempedulikan undang-undang dan ketenteraman awam.  

PDF

Share this article
Follow