Media & Events

Perutusan YB Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia sempena Hari Pos Sedunia 2017

09 Oct 2017
PERUTUSAN YB DATUK SERI DR. SALLEH SAID KERUAK MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA SEMPENA HARI POS SEDUNIA 9 OKTOBER 2017  

Perkhidmatan pos adalah sebahagian dari fabrik rakyat Malaysia sama ada yang tinggal di bandar mahupun di desa. Melalui rangkaian pejabat pos dan logistik yang meliputi seluruh wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak, perkhidmatan pos yang inklusif telah memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat.  Namun begitu, saya menyedari landskap industri perkhidmatan pos telah berubah dengan pantas melalui kewujudan persaingan dari syarikat-syarikat kurier, pertumbuhan pesat komunikasi digital yang memberi impak kepada cara rakyat berkomunikasi  dan pembangunan e-dagang yang membuka peluang baharu bagi perkhidmatan pos terus mengekalkan pertumbuhan dan kekal relevan di hati rakyat.  

Kini, perkhidmatan pos dan kurier menjadi input strategik kepada pembangunan ekonomi digital dan e-dagang. Pertumbuhan pantas segmen penghantaran bungkusan dijangka akan berterusan selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital yang memerlukan pelaburan baharu bagi meningkatkan kapasti kendalian di samping mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti. Oleh itu, Pelan Halatuju eDagang Kebangsaan dan penubuhan Zon Perdagangan Bebas Digital pertama di dunia yang diumumkan YAB Perdana Menteri memerlukan industri pos dan kurier yang diselia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melaksanakan inisiatif transformasi untuk menjadi “best in class’’ serta meningkatkan tahap produktiviti setiap warga kerja yang ada melalui pembangunan kapasiti berterusan bagi mencapai sasaran pertumbuhan e-dagang yang direncanakan.   
Sempena dengan Sambutan Hari Pos Sedunia pada 9 Oktober setiap tahun, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga kerja pos yang telah bekerja dengan penuh dedikasi, disiplin dan mesra rakyat. Teruskanlah perjuangan murni tersebut. Selamat Menyambut Hari Pos Sedunia 2017. 
Share this article
Follow