Media & Events

121,000 daftar rebat telefon

11 Jan 2013, Berita Harian
Kuala Lumpur: Seramai 121,000 belia berumur 21 hingga 30 tahun sudah mendaftar setakat malam kelmarin untuk mendapatkan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB) bagi pembelian telefon pintar. 

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata secara purata, sebanyak 25,000 permohonan diproses dan diluluskan setiap hari sejak rebat itu dilancarkan seminggu lalu. 

Kita sangat gembira menyaksikan perkembangan positif daripada belia di negara ini yang memberi sambutan
baik terhadap pakej rebat dilancarkan kerajaan ini. Bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran, SKMM juga mengemas kini laman web PKB iaitu 
komunikasibelia.skmm.gov.my dan nbi.skmm.gov.my, katanya selepas sesi wawancara program Helo Malaysia, di sini malam kelmarin. 

Beliau turut menegaskan, pendaftaran untuk skim berkenaan adalah berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat, iaitu tawaran terbabit akan ditutup selepas 1.5 juta belia menggunakan rebat berkenaan. 

Justeru, belia yang ingin mendapatkan rebat itu perlu berbuat demikian dengan segera, katanya. 

Sharil berkata, selepas belia mendaftar untuk mendapatkan rebat, tempoh sah diberikan untuk menggunakan rebat itu hanya sebulan. 

Jika rebat itu tidak digunakan selepas tamat tempoh sebulan, belia boleh mendaftar semula untuk mendapatkan rebat berkenaan, namun ia bergantung kepada berapa ramai belia sudah menggunakan rebat terbabit, katanya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2013, mengumumkan rebat RM200 secara one off bagi golongan belia membeli satu unit telefon mudah alih pintar 3G bertujuan membuka akses maklumat kepada mereka.
Share this article
Follow