Media & Events

14 Kes Bawah Akta MCMC 1998 Dibawa Ke Mahkamah Setakat Awal Ogos

13 Aug 2015, bernama
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Sejumlah 14 kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan bermula Januari hingga awal Ogos lepas.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Zulkarnain Mohd Yasin berkata kebanyakan kes yang didakwa itu melibatkan penyalahgunaan media sosial seperti Facebook, Twitter, khidmat pesanan ringkas (SMS), khidmat pesanan multimedia (MMS) dan laman blog.

Katanya jenis kesalahan yang dilakukan antara lain merangkumi penghantaran kandungan jelik dengan tujuan menyakitkan hati orang lain, muat naik dan penghantaran kandungan lucah menerusi aplikasi e-mel serta media sosial.

"Daripada jumlah itu, 10 kes telah dibicarakan dan dikenakan tindakan, manakala empat kes lain masih dalam proses perbicaraan di mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata kejayaan mendakwa 14 kes di mahkamah membuktikan ketegasan dan komitmen MCMC dalam menangani masalah penyalahgunaan media sosial yang semakin berleluasa ketika ini.
 
Share this article
Follow