Media & Events

4,788 Netbook 1Malaysia Daripada Skmm Untuk 399 Perpustakaan Desa

30 Sep 2013, Bernama
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) hari ini menerima sebanyak 4,788 netbook 1Malaysia daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk diagihkan kepada 399 Perpustakaan Desa kendalian PNM di seluruh negara.

Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar berkata penyerahan netbook itu antara lain menjadi platform dalam mentransformasi perkhidmatan perpustakaan secara menyeluruh kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, setiap perpustakaan desa akan menerima 12 buah netbook yang dapat memberi manfaat kepada rakyat sekurang-kurangnya di tiga hingga lima buah kampung di setiap kawasan.

"Walaupun infrastruktur mengakses internet ada disediakan di kawasan luar bandar, namun, dari segi peralatan berteknologi masih kurang, dan dengan adanya sumbangan daripada SKMM ini ia cukup membantu mereka di luar bandar.

"Kami juga akan memantau penggunaannya supaya ia dapat digunakan semaksimum mungkin oleh pengguna perpustakaan desa," katanya kepada pemberita selepas menerima netbook 1Malaysia daripada Ketua Pegawai Kawalselia Industri SKMM Toh Swee Hoe di sini Isnin.

Raslin berkata melalui pengagihan netbook itu ia dapat menjadi penggerak dalam merealisasikan hasrat kerajaan merakyatkan ilmu dan melahirkan komuniti celik teknologi maklumat (IT), selain mewujudkan masyarakat berpengetahuan.

Pada majlis sama Raslin turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Buku Skrap Multimedia Kemerdekaan anjuran bersama PNM, SKMM dan Kementerian Pendidikan pada 1 hingga 30 Ogos lepas.

Raslin berkata pertandingan itu bertujuan memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah mengenai sejarah kemerdekaan negara.

"Malah, program sebegini dapat mencungkil idea dan kreativiti pelajar, selain menggalakkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti berasaskan ICT," katanya.

Sebanyak 10,050 sekolah menengah dan rendah seluruh negara menyertai pertandingan itu.
Share this article
Follow