Media & Events

500 pelajar terima netbook

04 Sep 2012, Sinar Harian
KUALA NERANG - Seramai 500 pelajar sekolah menengah dan rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Nerang menerima komputer Netbook 1Malaysia.

Penyampaian netbook itu disempurnakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Anuar Sultan Badlishah pada satu majlis di sini.

Naib Ketua Umno bahagian Padang Terap Datuk Syed Sobri Syed Hashim berkata, sehingga kini hampir 4,000 orang terdiri daripada pelajar, pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan usahawan kecil dalam Dun Kuala Nerang menerima netbook 1Malaysia.

“Kumpulan itu khususnya pelajar sekolah menengah merupakan sasaran kerajaan untuk meningkatkan tahap penguasaan teknologi maklumat penduduk luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Syed Sobri berkata, Pusat Jalur Lebar Dun Kuala Nerang dibina di Kampung Tanjung, Padang Nyior dan Pekan Kuala Nerang memberi kemudahan berguna kepada masyarakat luar bandar.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) juga meluluskan projek perkampungan Wifi di Bukit Tembaga di sini.

Sementara itu, Syed Sobri turut menasihatkan ibu bapa atau pihak sekolah yang belum mendapat netbook supaya mendaftar nama pelajar di Pusat Khidmat Dun Kuala Nerang.

Terdahulu pengarah SKMM Wilayah Utara Hussin Ali berkata program kesedaran ‘Klik dengan Bijak’ yang dilancarkan Julai lalu memberi kesan positif terhadap penggunaan Internet.

“SKMM menerima banyak aduan selain mengesan penyalahgunaan Internet yang berleluasa terutama facebook dan twitter. Program kesedaran ini diharap dapat mendidik masyarakat lebih bertanggungjawab,” katanya.

Pada majlis itu Tunku Anuar turut menyampaikan hamper dan duit raya kepada pelajar-pelajar berkenaan iaitu dari empat sekolah menengah dan tiga sekolah rendah.
Share this article
Follow