Media & Events

5G banyak manfaat

09 May 2019, Harian Metro

DUNIA kini dalam proses untuk mengguna pakai secara meluas teknologi jaringan 5G yang nyata memberi manfaat kepada semua pihak dan jaringan itu mampu mencapai kelajuan 20Gbps.

Kewujudan jaringan pantas itu membolehkan beberapa teknologi seperti robotik dan pemanduan automatik dalam kenderaan pintar berkembang.

Sebelum ini, saintis menghadapi kesukaran apabila sistem Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik yang digunakan untuk memandu sesebuah kenderaan menghadapi masalah kelewatan penghantaran data dan ia tidak boleh dipraktikkan secara meluas.

Kewujudan jaringan 5G ini yang mempunyai ciri kurang data hilang dan kecepatan penghantaran data secara efektif membolehkan teknologi itu untuk dibangunkan secara meluas.

Ketika penggemar teknologi itu sibuk membangunkan infrastruktur 5G, wujud kebimbangan dalam segelintir komuniti saintis teknologi berkenaan mempunyai kesan negatif kepada individu mahupun teknologi yang diguna pakai kini.

Sistem jaringan termaju itu sudah dimulakan dalam skala kecil di beberapa bahagian di sekitar Chicago dan Minneapolis, Amerika Syarikat dan hasilnya pelbagai.

Segelintir saintis bimbang rangkaian 5G boleh mengganggu sistem perjalanan satelit cuaca yang digunakan 24 jam sehari untuk melakukan pemantauan sebarang perubahan iklim di sesuatu lokasi.

JARINGAN 5G selamat digunakan bagi kesihatan manusia.

Sistem jaringan termaju setakat ini mendapat liputan yang meluas memandangkan ia mampu untuk menggerakkan teknologi lain yang selama ini disifatkan sebagai ‘teknologi Hollywood’.

Ia termasuk panggilan video hologram umpama filem Star Wars akan dapat dipraktikkan kerana jaringan ini mampu untuk menghantar serta menerima data dalam kadar yang sangat pantas.

Berdasarkan laman portal ‘PopularMechanics’, ia mendedahkan frekuensi jaringan 5G itu boleh mengganggu satelit yang mengorbit bumi untuk pemantauan cuaca.

Ia termasuk satelit European MetOp yang bertugas untuk melakukan pemantauan tenaga memancar di bumi dengan menilai kelembapan atmosfera.

Walaupun sehingga kini, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Amerika Syarikat (NOAA) belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara berkenaan namun dipercayai kajian terperinci sedang dilaksanakan.

Bagaimanapun, untuk kesan kesihatan kepada manusia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi lebih 25,000 penerbitan kajian berkaitan sistem jaringan 5G menyangkal frekuensi berkenaan mampu membahayakan kesihatan orang dewasa ataupun kanak-kanak.

Perkara sama turut dinyatakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Al-Ishsal Ishak bahawa frekuensi rangkaian 5G adalah selamat untuk semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Menurutnya, SKMM menerusi kajian yang disahkan pakar spektrum iaitu Prof Dr Tharek Abd Rahman melihat teknologi rangkaian itu tidak mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan manusia.

Kajian yang dilaksanakan lebih 30 tahun oleh WHO juga tidak menemui sebarang perkara aneh dalam frekuensi jaringan 5G dan ia boleh dikategorikan sebagai selamat digunakan.

Share this article
Follow