Media & Events

74 menara baru dijangka siap akhir bulan ini : SKMM

27 Feb 2012, New Sabah Times
TAWAU: Sebanyak 74 menara pemancar telekomunikasi baru untuk memudahkan rakyat di kawasan pedalaman Sabah mendapat perkhidmatan internet, dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini. Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah Bukhari Yahya berkata dengan siapnya menara pemancar itu, penduduk yang tinggal di sekitar lima kilometer daripada pemancar berkenaan boleh melayari internet dengan baik. “Sebahagian besar daripadanya sudah siap dan apabila siap sepenuhnya, Sabah akan mempunyai 205 menara pemancar,” katanya pada majlis perasmian penyerahan Komputer 1Malaysia yang disempurnakan Ketua Umno Bahagian Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh. Pada majlis itu, seramai 1,250 orang yang terdiri daripada jawatankuasa Umno Bahagian, Ketua Cawangan, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Cawangan di Bahagian Kalabakan menerima komputer masing-masing. Abdul Ghapur yang juga Anggota Parlimen Kalabakan dalam ucapannya berharap dengan pemberian komputer itu, pemimpin Umno di peringkat akar umbi akan memperoleh maklumat terkini mengenai dasar-dasar kerajaan dengan mudah dan tepat melalui internet. “Mana-mana yang belum mahir menggunakan komputer dan internet, mereka boleh belajar daripada anak masing-masing. Hampir keseluruhan kanak-kanak terutama yang belajar di Sekolah menengah sudah tahu menggunakan komputer dan internet,” katanya.
Share this article
Follow