Media & Events

Al-ishsal Ishak dilantik sebagai pengerusi SKMM yang baharu

26 Sep 2018, bernama
PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd, Al-Ishsal Ishak dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang baharu, untuk tempoh dua tahun, berkuatkuasa 1 Okt ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dalam kenyataan hari ini berkata Al-Ishsal Ishak merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia dan biasiswa Japan Airlines di Sophia University, Tokyo.

Selepas tamat pengajian, beliau menceburi bidang keusahawanan dalam arena digital dari tahun 1994 sehingga 2008, kata Gobind.

Al-Ishsal kemudiannya menjadi Ketua Pegawai Digital McCann Ericsson Worldgroup; Ketua Pegawai Eksekutif Baraka Telecom; Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Produk di Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad; dan Ketua Kumpulan Ancilliary AirAsia serta pelbagai jawatan pegawai kanan di Tune Group.

Al-Ishsal juga merupakan Pengarah Urusan Asia Tenggara ECO Capacity Exchange Ltd (London) serta pelatih dan perunding untuk Kumpulan Airbus sebelum menyertai Pos Malaysia Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Selain itu, Al-Ishsal  pernah berkhidmat di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan merupakan bekas ahli Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC), kata Gobind.

-- BERNAMA
Share this article
Follow