Media & Events

Astro tidak langgar syarat siar 60% program bahasa Melayu

12 Apr 2007, Utusan Malaysia
PUTRAJAYA 12 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan stesen televisyen berbayar, Astro tidak melanggar syarat tentang keperluan menyiarkan kandungan rancangan sebanyak 60 peratus dalam bahasa Melayu. Ketua Komunikasi Korporat dan Komuniti SKMM, Adelina Iskandar berkata, ini kerana Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM) 1998 yang digubal bagi memberi laluan kepada penggabungan penyiaran, telekomunikasi dan internet tidak meletakkan syarat itu ke atas mana-mana syarikat televisyen berbayar. ‘‘Justeru tidak ada pelanggaran syarat oleh Astro. Selain bersiaran dalam bahasa Melayu melalui siaran Astro Ria (24 Jam) dan Astro Prima, Astro juga menyiarkan semua rancangan dari stesen tidak berbayar iaitu RTM 1, RTM2, TV3, NTV7, TV9, 8TV dan filem berbahasa Melayu dalam siaran Astro Box Office. ‘‘Siaran Astro juga menyediakan sarikata bahasa Melayu bagi rancangan terbitan luar negara dan siaran Astro juga kini boleh didapati di Brunei dan Indonesia. ‘‘Ini bermakna semua siaran Bahasa Melayu dan kandungan tempatan yang diterbitkan di Malaysia kini boleh dipertontonkan dengan lebih meluas di kawasan rantau ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia semalam yang menyebut Kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapati kebanyakan stesen televisyen tempatan tidak memenuhi garis panduan penyiaran yang menetapkan sekurang-kurangnya 60 peratus program adalah dalam bahasa kebangsaan. Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Profesor Dr. Awang Sariyan berkata, ada juga stesen televisyen yang dihitung sifar peratus dalam penggunaan bahasa Melayu. Menurut Adelina, melalui AKM, semua syarikat televisyen berbayar dikenakan syarat keperluan kandungan perlesenan iaitu 60 peratus daripada rancangan yang disiarkan perlu dalam bahasa Melayu, manakala 60 peratus kandungan bukan berbahasa Melayu mestilah rancangan tempatan. Dalam hal ini, kata beliau, siaran TV3 dan TV9 yang merupakan stesen televisyen tidak berbayar telah melebihi keperluan syarat tersebut, manakala NTV7 dan 8TV digalakkan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu. ‘‘SKMM turut prihatin dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu serta meningkatkan lagi kandungan tempatan.
Share this article
Follow