Media & Events

CFM Ikrar Selesai Masalah Segera

10 Nov 2003, Bernama
Forum Komunikasi dan Pengguna Multimedia Malaysia (CFM), sebuah forum kawal selia sendiri yang dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjadi "sebuah pusat sehenti" mengendalikan aduan dan pertanyaan pengguna, Isnin berikrar melaksanakan proses penyelesaian masalah pengguna dengan segera. Di bawah Kod Amalan Pengguna Umum (GCC Code) bagi industri itu, ia telah menetapkan satu tempoh masa bagi proses pengendalian aduan. "Sebagai contoh, sebuah penyedia perkhidmatan perlu mengesahkan satu aduan dalam tempoh tiga hari, jadi CFM perlu menyelesaikan atau memberitahu pengadu berkenaan bahawa aduannya dapat diselesaikan dan kami akan memadankannya dengan tempoh masa itu," kata pengerusinya, K. Chelvakumar dalam satu kenyataan Isnin. "Untuk menyelesaikan aduan itu, kami membantu dan berunding dengan Penyedia penyiaran, telekomunikasi dan Perkhidmatan Internet, serta menyelesaikannya dalam tempoh dua minggu atau kurang," kata Chelvakumar yang juga pengurus besar Kawal Selia Time DotCom. Bagaimanapun, beliau berkata, rumusan itu akan bergantung kepada keadaan aduan itu kerana bidang liputan yang luas penyiaran, telekomunikasi dan Internet kerana sesetengah aduan itu kemungkinan memakan masa untuk diselesaikan. Kod GCC didaftarkan baru-baru ini oleh MCMC selepas selesai dua pusingan program kesedaran. CFM turut merancang mengadakan program kesedaran di Sabah dan Sarawak, untuk memberikan orang awam di kawasan berkenaan lebih kefahaman Kod GCC.
Share this article
Follow