Media & Events

CMCF kawal kandungan siaran Malaysia

25 Dec 2012, Kosmo

PADA usia 15 tahun, Shahrul (bukan nama sebenar) mengakui, dirinya ketagih untuk melayari laman web yang memaparkan kandungan pornografi seperti gambar-gambar lucah. Kecanggihan teknologi masa kini memudahkan lagi proses untuknya berbuat demikian.

Apatah lagi memiliki telefon pintar yang dihadiahkan oleh ibu bapa, membolehkan Shahrul mengakses laman tersebut tanpa sebarang kekangan. Bukan itu sahaja, komputer riba yang diletakkan di dalam bilik turut memudahkan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di ibu kota itu melayan nafsu kotornya.

“Pada mulanya saya sekadar suka-suka atas ajakan rakan sebaya. Lama-kelamaan saya terus ketagih hingga setiap hari saya pasti akan melayari laman lucah tersebut. Tambahan pula, laman yang dilayari tiada sebarang kawalan untuk menyekat pengguna daripada menontonnya,” ujar Shahrul tanpa sebarang rasa kesal atau malu.

Situasi yang dihadapi Shahrul mungkin turut dialami oleh ramai remaja di negara ini. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memantau setiap anak mereka daripada terjebak dengan aktiviti tidak sihat tersebut.

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mohd. Mustaffa Fazil Mohd. Abdan, 39, berkata, bagi mereka yang mementingkan nilai kesopanan dan adab menjaga kehormatan, kandungan lucah boleh menimbulkan rasa jijik lantaran gambaran memberahikan yang bertentangan dengan hukum agama serta norma masyarakat Timur.

Pengaruh negatif


TEKNOLOGI yang semakin canggih membolehkan masyarakat memperoleh maklumat di hujung jari. - Gambar hiasan


Kandungan lucah sebenarnya mendatangkan pengaruh negatif dan merosakkan pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda.

“Teknologi kini berkembang pesat pada kadar yang terlalu pantas. Di sebalik kelangsungan proses ini, pasti ada bahaya yang menanti. Justeru, CMCF mahu mendidik orang ramai tentang kepentingan mengamalkan kawalan kendiri dalam mengakses kandungan multimedia.

“Pada waktu dahulu, kandungan disiarkan hanya melalui radio atau televisyen, tetapi sekarang terdapat pelbagai cara penyampaian pesanan dan kandungan.

“Kami di CMCF menggesa semua pengguna multimedia supaya berwaspada apabila mengakses sesuatu kandungan multimedia,” ungkap Mustaffa dalam satu temu bual bersama Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambahnya, dengan pengenalan TV kabel dan internet (IPTV, Video on Demand dan lain-lain), khalayak kini terdedah kepada liputan kandungan yang lebih luas. Maka, pertimbangan yang sewajarnya perlu bagi memastikan masyarakat hanya mengakses kandungan yang positif dan sihat.

“Saya amat berharap orang ramai akan memainkan peranan aktif dalam memastikan masyarakat kita khususnya generasi muda bebas daripada kandungan negatif, berbahaya dan merosakkan,” ujarnya.

Badan pemantau

Mula ditubuhkan secara rasmi pada 2001, CMCF adalah sebuah badan pemantau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang terletak di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ia bertanggungjawab menggubal dan membangunkan satu Kod Kandungan negara yang bukan sahaja untuk pengamal industri malah buat pengguna awam.

Tujuan utama Kod Kandungan adalah untuk mencadangkan garis panduan dan tatacara berhubung peruntukan kandungan melalui kawalan diri oleh industri dengan cara yang praktikal.

Selain itu, ia boleh dilaksanakan secara komersial. Pada masa yang sama, ia merangsang, mempromosi dan menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan industri.


ANTARA contoh iklan CMCF yang dipaparkan melalui medium internet dan televisyen yang bertujuan mendidik masyarakat agar lebih memahami kepentingan Kod Kandungan.


“Pada tahun 2004, Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) telah didaftar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan berkuat kuasa pada tahun yang sama.

“Pembangunan Kod Kandungan mengambil masa selama tiga tahun hasil kerjasama semua pihak yang menggembleng tenaga. Secara am, mereka terdiri daripada pihak yang terlibat dalam industri elektronik dan khusus bagi pengamal, pembekal serta pengguna.

“Kod Kandungan ini menggabungkan semua tatacara dan jenis panduan sedia ada dimasuk dan diolah semula. Ia membantu usaha industri komunikasi dan multimedia ke arah kawalan kendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA),” jelas beliau.

Dalam usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kewujudan Kod Kandungan, CMCF telah melaksanakan pelbagai program.

“Antaranya untuk menjadikan Kod Kandungan lebih mudah difahami, pihak kami telah menerbitkan buku dalam empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil secara dalam talian.

“Selain itu, sejak ditubuhkan lebih 11 tahun lalu, CMCF telah mencapai beberapa sasaran penting yang membantu khalayak memahami dengan jelas mengenai Kod Kandungan terutamanya dari segi mengenal pasti kandungan yang tidak sesuai dan melanggar undang-undang,” katanya lagi.

Tidak ketinggalan, CMCF juga telah berjaya mewujudkan Biro Aduan serta menganjurkan program kesedaran untuk pelbagai sektor sama ada awam mahupun swasta.

Operasi Biro Aduan adalah untuk menerima dan menyelesaikan aduan yang diterima daripada orang awam. Secara purata setiap tahun terdapat lebih 100 aduan yang diterima merangkumi pelbagai medium utama seperti televisyen, internet dan radio.

Program kesedaran

CMCF turut mengadakan sesi jelajah program kesedaran di seluruh negara dengan kerjasama SKMM serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

“Di samping itu, pelaksanaan Program Kluster Sekolah pula bertujuan untuk mendidik pelajar tentang Kod Kandungan agar mereka lebih bertanggungjawab dan berhati-hati ketika memuat turun atau menghantar sesuatu kandungan yang negatif.


DUA kakitangan Biro Aduan CMCF meneliti aduan yang diterima daripada orang ramai.


“Terdapat dua fasa dalam program ini iaitu Fasa I bagi pelajar sekolah menengah manakala Fasa II untuk pelajar sekolah rendah,” ujar Mustaffa lebih lanjut.

Tegas beliau, penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak kecil atau pelajar tidak patut disekat, tetapi mereka perlu dibimbing untuk menggunakannya ke arah kebaikan.

“Oleh itu, kawalan kendiri sebenarnya bermula di rumah yang memerlukan pembabitan ibu bapa secara langsung dalam memantau aktiviti pelayaran internet anak-anak.

“Sebagai contoh, ibu bapa perlu membeli perisian yang boleh menyekat anak-anak daripada menonton atau melihat kandungan lucah yang banyak terdapat di pasaran. Jangan sesekali membiarkan mereka melayari internet sendirian. Walaupun sedikit kawalan kendiri dapat diamalkan, ia mampu memberi kesan besar dalam kehidupan anak-anak,” tuturnya melahirkan harapan terhadap ibu bapa agar tidak memandang remeh tentang perkara ini.

Share this article
Follow