Media & Events

Daftar telefon bimbit - "Bagi mengelak kecurian" Libatkan 20 juta pengguna

05 Jun 2007, Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 5 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bercadang mewajibkan pendaftaran hak milik telefon bimbit bagi mengelakkan kes-kes kecurian telefon yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Cadangan tersebut jika dilaksanakan akan melibatkan berjuta-juta pengguna telefon bimbit di seluruh negara yang perlu mendaftarkan nombor siri, jenis dan model telefon bimbit yang mereka gunakan. Di Malaysia kini terdapat kira-kira 16 juta pengguna talian prabayar dan 3.4 juta pengguna talian pascabayar, dengan jumlah telefon bimbit dalam pasaran dianggarkan melebihi 20 juta buah. Ketua Jabatan Teknologi dan Standard SKMM, Ahmad Razif Ramli berkata, jika cadangan itu dilaksanakan, telefon bimbit akan tergolong sebagai hak milik yang wajib didaftarkan dengan SKMM seperti mana kereta dan motosikal yang wajib didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). ‘‘Telefon bimbit kini kian canggih dan semakin mahal. Jadi, perlu ada sistem ‘pengunci’ yang membolehkan pengguna menghalang telefon tersebut daripada digunakan oleh pencuri. ‘‘Apabila nombor siri telefon bimbit didaftarkan, dengan bantuan teknologi, penggunaannya boleh disekat dari jarak jauh. Pada masa yang sama telefon itu tidak boleh dijual kepada individu lain,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Persidangan Medan Elektro-Magnetik (EMF) Antarabangsa 2007 di sini hari ini. Persidangan itu dianjurkan oleh Universiti Malaya dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Ahmad Razif berkata, sistem pendaftaran telefon seumpama itu telah dilaksanakan di beberapa negara maju seperti di United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman. Katanya, keberkesanan kaedah itu telah terbukti apabila kes-kes kecurian telefon bimbit di negara-negara berkenaan berjaya dikurangkan. ‘‘SKMM mendapat idea untuk melaksanakan sistem ini selepas diberi taklimat ketika rombongan kami melawat pejabat London Metropolitan Police di London pada 24 Mei lalu. ‘‘Kami kagum kerana sistem tersebut dapat mengesan tuan punya telefon, jenis telefon serta talian yang dilanggani selepas ia digunakan oleh pencuri,’’ ujarnya. Beliau berkata, segala butir pendaftaran telefon bimbit akan dimasukkan ke dalam satu pangkalan data berkomputer bagi memudahkan pengesanan dijalankan. ‘‘Pihak polis di UK sedia menjalinkan kerjasama sebagai perunding sekiranya kita bersedia untuk melaksanakan sistem itu di Malaysia,’’ kata Ahmad Razif. Sistem tersebut juga dikatakan boleh menghalang telefon seseorang daripada digunakan untuk tujuan jenayah. Sebelum ini, kerajaan telah mewajibkan pendaftaran talian prabayar dalam usaha mengelakkan penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS) yang berunsur fitnah. Sepanjang tempoh pendaftaran yang berakhir Disember tahun lalu, kira-kira 15.7 juta pengguna perkhidmatan telefon mudah alih prabayar telah mendaftar talian masing-masing. Menurut Ahmad Razif, cadangan mewajibkan pendaftaran nombor siri, jenis dan model telefon masih di peringkat kajian. Ketika ini SKMM sedang mengenal pasti kerangka peraturan yang akan dikuatkuasakan untuk melaksanakan pendaftaran telefon bimbit. ‘‘Ini merupakan projek terbesar SKMM pada tahun ini selepas kita berjaya melaksanakan sistem pendaftaran prabayar tahun lepas,’’ tambahnya. Beliau berkata, pihak operator telefon selular di Malaysia telah diberikan gambaran awal tentang projek tersebut. ‘‘Kami sudah mengadakan rundingan awal dengan syarikat-syarikat berkenaan untuk menjayakan projek itu,’’ ujarnya. Sementara itu, Ahmad Razif meminta orang ramai memantau penghantaran SMS dan MMS yang tidak diingini (spam) daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. ‘‘Orang ramai perlu melaporkan kepada syarikat perkhidmatan telekomunikasi masing-masing jika menerima SMS atau MMS yang tidak dilanggani,” katanya. Menurut beliau, pengguna telefon bimbit juga boleh membuat aduan terus mengenai spam kepada SKMM melalui talian bebas tol 1800-888-030.
Share this article
Follow