Media & Events

Dewan Negara: Beratus Ribu Iklan Tanpa Lesen Dihapus DBKL Dari Januari-Oktober

11 Dec 2012, Bernama
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Sebanyak 955,548 unit iklan tanpa lesen di sekitar ibu kota telah dihapuskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Selasa.
 
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding kira-kira 500,000 unit iklan yang dimusnahkan tahun lepas.
 
 "Bentuk tindakan yang dijalankan adalah melalui penurunan iklan, memadam dengan menggunakan cat serta mengikis pelekat yang merupakan tindakan berterusan DBKL bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur sentiasa bersih daripada iklan tanpa lesen," katanya ketika menjawab soalan Senator Baharudin Abu Bakar mengenai kebanjiran iklan haram.
 
Raja Nong Chik berkata dalam tempoh sama, DBKL mengeluarkan 470 notis kesalahan yang membabitkan kesalahan mempamer iklan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1982.
 
Selain itu, katanya DBKL mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menamatkan perkhidmatan nombor telefon yang dipaparkan pada iklan-iklan haram berkenaan.
Share this article
Follow