Media & Events

Dibicara daftar kad sim guna identiti palsu

09 Jan 2018, Harian Metro

DUA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini, atas 18 pertuduhan berkaitan mendaftar kad sim nombor telefon bimbit menggunakan identiti palsu sekali gus kes pertama seumpama itu dihadapkan ke mahkamah.

Tertuduh, Tan Shi Wei, 26, yang juga pemilik kedai serta pekerjanya, Chee Han Hing, 38, mengaku tidak bersalah selepas semua 18 pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa di depan Hakim Saifulakmal Mod Sod.

 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membuat capaian kepada kandungan satu komputer iaitu sistem Multi Channel Portal (MCP) DiGi Telecommunications Sdn Bhd dan menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa ke atas kandungan sistem MCP berkenaan.

 

Kedua-dua tertuduh didakwa mendaftarkan kad sim tanpa membuat pengesahan maklumat yang sah pengguna akhir terlebih dulu seperti dikehendaki DiGi Telecommunications Sdn Bhd.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di CW Teleshop, 68, Jalan Sultan Alam Shah di Banting, Selangor pada 27 Februari 2016.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria dan beliau memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 untuk setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Varghese Onny memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Hakim memutuskan kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh 22 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen.

Share this article
Follow