Media & Events

Dua Nelayan Jadi Individu Pertama Di Perak Didakwa Miliki Parabola

03 Oct 2017, bernama
TAIPING, 3 Okt (Bernama) -- Dua nelayan hari ini menjadi individu pertama di Perak didakwa di mahkamah atas tuduhan menggunakan parabola, peralatan komunikasi yang tidak diperakui, dua tahun lalu.

Ong Leng Soo, 48, dan Teoh Tian Sim, 52, mengaku bersalah apabila pertuduhan ke atas mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rohaida Ishak.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa memiliki satu unit piring parabola, satu unit penukar blok-berhinggar rendah (LNB) dan satu unit dekoder tanpa jenama di kediaman masing-masing.

Ong dituduh memiliki peralatan tersebut di Jalan Pantai, Kuala Kurau dekat sini pada 29 Julai 2015 pukul 10.45 pagi, manakala Teoh di alamat dan tarikh sama pada kira-kira pukul 11.40 pagi.

Kedua-duanya dikesan memiliki peralatan tersebut dalam satu serbuan oleh Polis Marin Wilayah (1) hasil maklumat Biro Aduan Pengguna Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kedua-dua nelayan itu didakwa mengikut Peraturan 37 Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksikum RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Hakim memutuskan kedua-duanya didenda RM4,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu. Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Share this article
Follow