Media & Events

Dua Program Intel Bantu Pengunjung Pusat Internet 1Malaysia Tingkatkan Pengetahuan ICT

03 Sep 2014, bernama
CYBERJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Kira-kira 150,000 pengunjung Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) akan mendapat manfaat daripada dua program Intel - Intel Learn Easy Step dan Entrepreneurship Basic - untuk meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang ICT.

Ini hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Intel Malaysia hari ini mengenai penyediaan dua program itu oleh Intel Malaysia.

Pengerusi MCMC Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, yang menandatangani MoU berkenaan bagi pihak suruhanjaya itu, berkata 866 pengurus daripada 433 PI1M akan menjalani latihan tentang dua program itu bagi membantu pengunjung PI1M dalam penggunaan dua program tersebut.

Katanya program itu, yang menyasarkan golongan dewasa dan belia yang tidak mempunyai atau hanya mempunyai sedikit pengalaman berkaitan komputer dan memerlukan kemahiran asas teknologi, akan membantu mereka menyertai inisiatif berkaitan k-ekonomi.

"Kami berharap dapat melihat banyak bakal usahawan dan usahawan sedia ada dari luar bandar, lebih penting lagi melihat usahawan ini dapat memacu ekonomi tempatan masing-masing ke tahap lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di sini, Rabu.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Rantau Asia Pasifik dan Jepun Intel Corporation Anshul Sonak berkata program peringkat pertama ini akan memberi kemahiran komputer yang diperlukan oleh peserta dan boleh diguna pakai bagi pelbagai jenis platform perkakasan dan perisian.

Program kedua, yang lebih terkehadapan dan menawarkan pembelajaran secara komprehensif berasaskan konteks tentang asas keusahawanan, bertujuan membimbing peserta tentang cara memulakan, menjalankan, memajukan dan mengurus perniagaan, kata beliau.
Share this article
Follow