Media & Events

Dua serangan virus Ransomware dilapor

17 May 2017, utusan malaysia


 
PUTRAJAYA 17 Mei - Kementerian Sains, Tek­nol­ogi dan Inovasi melalui CyberSecurity Malaysia telah menerima dua laporan berkaitan insiden serangan siber ‘Ransomware WannaCry’ sejak semalam daripada institusi pendidikan dan syarikat swasta.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, bagaimanapun pihaknya percaya jumlah tersebut mungkin lebih banyak kerana mangsa tidak membuat laporan.
Katanya, kementerian bersama CyberSecurity Malaysia akan terus berusaha memastikan ruang siber negara sentiasa selamat da­ripada apa jua serangan dan ancaman siber.

Oleh itu, semua organisasi di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) digesa untuk terus memperkukuhkan sistem pertahanan siber bagi melindungi rangkaian komputer di organisasi masing-masing.
“Organisasi CNII diingatkan agar menaiktaraf sistem komputer dengan perisian terkini dan tampung (patch) keselamatan. CyberSecurity Malaysia sentiasa bersedia untuk memberi soko­ngan serta perkhidmatan berbentuk bantuan teknikal kepada 10 sektor CNII.

“Sektor-sektor tersebut adalah pertahanan dan keselamatan, perbankan dan kewangan, maklumat dan komunikasi, tenaga, air, pengangkutan, kesihatan, makanan dan pertanian, perkhid­matan kerajaan dan perkhidmatan kecemasan,” katanya pada taklimat media mengenai ancaman siber tersebut di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amiruddin Abdul Wahab.
Pada 12 Mei lalu, dunia dikejutkan dengan serangan ‘Ransomware WannaCry’ yang menyerang kira-kira 150 negara sehingga kini.

Virus itu menguasai fail pengguna komputer dan meminta mangsa membayar sejumlah AS$300 (RM1,301) bagi memulihkan akses masuk sistem ma­sing-masing.

Sementara itu, Wilfred Madius berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dengan ancaman serangan siber tersebut tetapi mereka di minta untuk terus berwaspada dan berhati-hati dalam menggunakan komputer, Internet dan aplikasinya.
Share this article
Follow