Media & Events

Elak salah guna kebebasan bersuara di laman sosial - Eddin Syazlee

01 Dec 2018, bernama
KUALA PILAH, 1 Dis (Bernama) -- Jangan salah gunakan kebebasan bersuara di media sosial sehingga mencetuskan isu berkaitan perkauman dan agama, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.

Eddin Syazlee berkata pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mampu memadam dan mengambil tindakan setiap kandungan yang diterbitkan individu tidak bertanggungjawab di media sosial sekiranya perkara tersebut dilihat boleh mencetuskan provokasi antara kaum.

"Kerajaan pada hari ini sebolehnya tidak mahu menggunakan akta seperti Akta Hasutan 1948 kepada rakyat kerana kita mahu memberi kebebasan bersuara untuk mereka meluahkan pandangan atau memberi kritikan membina.

"Tetapi kalau dah sampai pada tahap memfitnah sehingga menjejaskan perpaduan dan mencetuskan ketegangan kaum, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat serta membantu dengan memadam mana-mana blog dan komen di media sosial yang bersifat rasis dan melampau," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Free Market Johol dan Back To School di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penularan pelbagai berita palsu dalam pelbagai bentuk dan platform yang bertujuan memanipulasi isu kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir, Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol Saiful Yazan Sulaiman.

Eddin Syazlee yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpedaya dengan berita provokatif serta menggunakan hak kebebasan bersuara sebaik mungkin.

"Kita tidak mahu rakyat dikawal seperti robot sekiranya terdapat akta-akta ketat dikenakan kepada mereka yang menggunakan media sosial. Jadi diingatkan bahawa ia mempunyai batasannya serta tidak boleh disalah guna untuk kepentingan tertentu untuk memecahbelahkan perpaduan dan hubungan kaum di negara ini," katanya.

Dalam majlis itu, Muhammed menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM100 kepada 30 keluarga asnaf di sekitar daerah luak jajahan Johol serta 100 beg sekolah hasil sumbangan daripada syarikat MYDIN kepada 100 kanak-kanak termasuk anak-anak Orang Asli.
Share this article
Follow