Media & Events

Enam Agensi Bincang Isu Suaram - Ismail Sabri

11 Sep 2012, Bernama
 KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Syarikat  Suruhanjaya Malaysia (SSM) bersama lima agensi lain akan mengadakan perjumpaan bersama Rabu bagi menentukan secara terperinci mengenai kedudukan bidang kuasa Suara Rakyat Malaysia (Suaram), kata  Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Beliau berkata lima agensi yang terlibat adalah Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
 
"ROS hari ini telah mengesahkan bahawa SUARAM merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar.
 
"Jadi isu Suaram ini perlu dibincangkan bersama. Orang ramai di luar sana tidak boleh terus fokus kepada SSM seolah-olah ini salah mereka semata-mata," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SSM di sini, hari ini.
 
Sebelum ini ROS mengeluarkan kenyataan bahawa Suaram tidak mengikuti Akta Pertubuhan 1966, di mana mereka perlu memenuhi keperluan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 yang meliputi alamat urusan, sekurang-kurangnya tujuh orang ahli (Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966), kutipan yuran ahli serta perlembagaannya.
 
Ismail Sabri berkata Akta Pertubuhan 1966 mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani isu ini.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penubuhan syarikat penerbangan tambang murah, Malindo Airways akan mewujudkan pilihan yang baik terhadap pengguna.
 
"Syarikat penerbangan secara tidak langsung akan bersaing dan menawarkan harga yang terbaik serta penambahbaikkan mutu perkhidmatan kepada penumpang. Jadi ini baik untuk pengguna untuk mempunyai pilihan.
 
"Malah ini dilihat sebagai suatu yang  positif dari sudut pelancongan, peluang orang Indonesia melancong ke negara kita pun lebih banyak, ini bagus untuk negara kita dan untuk pengguna," katanya.
Share this article
Follow