Media & Events

Gangguan frekuensi punca MCMC ke rumah bekas ahli Parlimen

22 Dec 2018, bernama

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menjelaskan kehadiran pegawainya di kediaman bekas ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng di Tanjung Tokong, Pulau Pinang semalam bertujuan menyiasat satu insiden gangguan frekuensi.

Dalam satu kenyataan di sini, MCMC berkata, gangguan dikesan berpunca daripada sebuah telefon tanpa kabel jenama Panasonic model KX-TGA401 yang dimiliki oleh Tee Beng dan beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

"MCMC ingin menasihatkan orang ramai yang memiliki ataupun berniat untuk menggunakan model telefon yang sama agar menghubungi pejabat MCMC berhampiran bagi mengelakkan berulangnya kes-kes gangguan sedemikian yang akan menjejaskan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di kawasan yang terlibat," demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan MCMC itu menyusuli dakwaan yang dibuat oleh Tee Beng menerusi laman Facebooknya semalam.

Bekas ahli parlimen PKR yang bertindak keluar parti pada 2010 dan menjadi wakil Bebas itu memuat naik status berbunyi: "Netizens, just now from 10am to 2am I have no message or something. Just now my family told me that mcmc came to my house to find me, and I wasn't in. If next without my message, know what's going on. Political persecution."(Netizen sekalian, bagi tempoh 10 pagi hingga 2 pagi tadi saya tidak menerima sebarang pesanan. Baru sekejap keluarga saya memaklumkan MCMC datang ke rumah mencari saya dan saya tiada di rumah. Jika selepas ini tiada mesej daripada saya, ketahuilah apa yang berlaku. Penganiayaan politik.)

Share this article
Follow