Media & Events

Gangguan Siaran Astro Tidak Dapat Diatasi Sepenuhnya

13 Dec 2012, MStar

KUALA LUMPUR: Gangguan siaran stesen tv berbayar Astro ketika hujan tidak dapat diatasi sepenuhnya kerana signal Ku-band yang digunakan terdedah kepada gangguan cuaca terutama di negara tropika termasuk Malaysia.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata bagaimanapun beberapa pendekatan telah diambil bagi mengurangkan masalah itu termasuk mewujudkan pusat penyiaran kedua di Cyberjaya.

Katanya pusat penyiaran itu bertindak sebagai sokongan kepada pusat penyiaran utama Astro di Bukit Jalil yang akan membantu menghantar isyarat ke satelit jika berlaku kegagalan transmisi.

"Usaha ini telah dapat mengatasi sebahagian daripada faktor gangguan hujan tetapi gangguan di premis pelanggan sukar diatasi sepenuhnya walaupun pepiring satelit dan dekoder B.yond telah meningkatkan kualiti transmisi dan penerimaan siaran sebanyak 30 peratus berbanding dekoder lama," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk S.Nallakaruppan sama ada kerajaan memantau serius gangguan siaran berbayar Astro semasa waktu hujan, di Dewan Negara Khamis.

Salang berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) serta Astro menjalankan program kesedaran dan pembelajaran berterusan untuk mendidik pengguna mengenai isu telekomunikasi termasuk 'rain-fade'.

Selain itu, SKMM turut membuat pemantauan dan penguatkuasaan melalui Standard Mandatori untuk mutu perkhidmatan oleh penyedia aplikasi kandungan termasuk Astro.

Share this article
Follow