Media & Events

Gergasi telekomunikasi tawar WiFi

22 Feb 2012, Harian Metro
PENERAJU perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, Maxis Berhad (Maxis) mengukuhkan komitmennya untuk merapatkan jurang digital komuniti luar bandar dengan menyediakan sambungan WiFi di Kampung Tohor, Jelebu, Negeri Sembilan. Ia seterusnya menjadikan kampung terbabit lokasi sebahagian daripada 56 tapak WiFi selain beberapa kawasan di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan yang diamanahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada Maxis. Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, projek WiFi terbabit sebahagian daripada perjalanan berterusan untuk merapatkan jurang digital dan meningkatkan kehidupan masyarakat yang jauh dari bandar. “Kami terpanggil untuk menghubungkan komunikasi terutama mereka yang tinggal di kawasan tidak boleh diakses. “Sebagai peneraju perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, kami menyentuh kehidupan jutaan rakyat Malaysia melalui produk dan perkhidmatan kami,” katanya. Beliau menambah, selain perkhidmatan, Maxis terus memperkayakan kehidupan masyarakat dengan memperkenalkan pelbagai program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang direka untuk menyediakan masyarakat luar bandar dengan akses komunikasi. “Malah, kami bersedia membantu mereka memanfaatkan kuasa Internet dengan sepenuhnya,” katanya. Serentak itu, Maxis melatih sebanyak 20 peserta dari komuniti Kampung. Chennah termasuk masyarakat Orang Asli dan 33 peserta penduduk Kuala Klawang mengenai penggunaan perkakasan asas ICT. Program dinamakan ‘Train the Trainer’ Maxis yang diadakan selama dua hari mengandungi modul pendidikan Internet, aplikasi multimedia dan e-pembelajaran mySchool melalui MyLaunchpad yang disediakan oleh perkhidmatan Internet Kampung Tanpa Wayar Maxis. Projek terbabit dianjurkan SKMM yang menjadikannya inisiatif yang dikenalpasti di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) yang dijangka akan membantu mempercepatkan sasaran penembusan jalur lebar negara.
Share this article
Follow