Media & Events

Google 'lamar' suri rumah

05 Jan 2012, Berita Harian
Bantu perluas jaringan Aziana pasar makanan beku LAMAN web dan internet tidak hanya menjadi platform sosial mahu pun bagi tujuan komunikasi semata-mata, sebaliknya menjadi lubuk menjana pendapatan bagi golongan berkepentingan seperti usahawan. Malah elemen Media Baru itu dianggap medan alternatif berkesan kerana berupaya menyalurkan maklumat dalam pelbagai bentuk. Tidak hairanlah ramai usahawan baik yang sudah lama bertapak mahu pun yang baru, sudah mula menggerakkan langkah mempromosikan produk masing-masing di alam siber yang lebih luas sasaran serta pelanggannya. Malangnya, seperti statistik SME Corporation, empat bagi setiap lima perniagaan di negara ini masih belum memiliki laman web yang menyebabkan hampir dua pertiga penduduk negara ini tidak tahu kewujudan perniagaan itu. Secara umum juga, 17.5 juta rakyat di negara ini menggunakan internet dalam melakukan carian kedai dan perkhidmatan menarik kerana beranggapan ia mudah dan maklumat yang diberikan itu adalah tepat. Contoh paling mudah ialah mencari peranti atau gajet yang boleh dibeli secara terus atas talian atau sebagainya. Statistik SME Corporation juga menunjukkan lebih daripada 700,000 yang memiliki perniagaan sendiri, hanya 100,000 saja yang menggunakan aplikasi kemudahan berkenaan. Justeru itu, melihat angka yang sangat besar itu, Google Malaysia mengambil inisiatif dengan melancarkan program Get Malaysian Business Online (GMBO) dalam usaha membantu meluaskan jaringan perniagaan mereka ke arena internet dan melonjakkan dunia ekosistem perniagaan atas talian. Inisiatif ini turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), My Domain Registry dan juga ITrain. Istimewanya, menerusi GMBO, usahawan yang tidak mempunyai kepakaran dalam dunia internet, hanya mengambil masa kurang sehari untuk membangunkan laman web mereka sendiri. Bagi membantu mereka, Google Malaysia mengenalpasti beberapa usahawan yang baru berkecimpung dalam apa juga lapangan perniagaan untuk dijadikan sebagai platform kepada mereka yang masih lagi tidak mempunyai laman web sendiri. Antara terpilih suri rumah, Aziana Muhammad, 41, yang baru saja berkecimpung dalam bidang perniagaan makanan sejuk beku ini. Aziana yang ditemui baru-baru ini mengakui rasa terkejut bersulam teruja apabila ‘dilamar’ Google Malaysia untuk mewujudkan satu laman web dan sekali gus mempromosikan pelbagai makanan sejuk bekunya seperti karipap, samosa ayam, vadai, donat dan kek coklat lembap di bawah jenama Puteri Puff and Pastry. Beliau yang merancang menghasilkan produk terbaru lasagna dan piza, juga terharu kerana tidak menyangka menjadi pilihan dalam berjuta-juta usahawan baru dan lama yang sudah bertapak di negara ini. “Inilah rezeki daripada Allah SWT memandangkan saya baru saja memulakan perniagaan ini secara serius pada Mei lalu. Pihak Google Malaysia pula datang ke rumah pada Oktober lalu bagi mengetahui sejauh mana kesungguhan beliau untuk menjalankan perniagaannya. “Sebaik saja mereka melihat semua kerja yang saya lakukan, mereka bersetuju untuk memilih saya sebagai satu daripada berjuta yang inginkan laman web sendiri. Inilah satu penghargaan yang tidak ternilai daripada mereka kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rawang, baru-baru ini. Berkongsi pengalamannya terbabit dalam perniagaan ini, Aziana berkata, ia hasil daripada seminar pertanian dihadirinya yang mana hampir keseluruhan usahawannya hanya orang biasa tetapi terbukti berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing. Lalu, beliau bertekad untuk melakukannya demi menambah pendapatan keluarga dan mengelak masa yang ada terbuang begitu saja. Justeru itu, bersandarkan modal RM500, beliau menghasilkan karipap sejuk beku dan memasarkannya sendiri di kedai-kedai makan di sekitar kawasan rumahnya. Ketika itu beliau tidak peduli apa orang nak kata asalkan kuih yang dihasilkan itu dapat memberi kepuasan kepada pelanggan kedai, selain rasanya yang enak. “Saya sentiasa mengambil pandangan orang lain mengenai rasa kuih saya dan setiap kali ada yang perlu diperbaiki, saya akan pastikan ia akan berbeza daripada yang sebelumnya. Ini adalah kali keempat saya menukar kulit karipap supaya ia tidak berminyak selepas di goreng. Namun, yang lebih penting ialah, saya tidak menggunakan sebarang bahan penambah perasa (MSG),” katanya yang menggunakan slogan -Sedap, Bersih dan Halal. Ibu sepasang cahaya mata ini juga tidak pernah jemu berusaha bagi memastikan produknya berkualiti dan kebersihannya terjamin dan mempelbagaikan hasil makanan beku itu. “Pernah terlintas di fikiran saya bagaimana cara untuk memasarkan produknya dengan lebih meluaskan disebabkan oleh kekangan masa dan sebagainya. Untuk memasarkannya di laman web, mustahil kerana saya sendiri tidak tahu bagaimana caranya. Namun, kedatangan pihak Google Malaysia membuka lembaran baru dalam hidup ini kerana ia menawarkan sesuatu yang diidam-idamkan. “Lamaran ini disambut dengan hati terbuka dan saya bersyukur kerana ketika mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan ini, ada pihak sudi memberi bantuan daripada sudut yang lain. Sejak itu, permintaan sangat memberangsangkan,” katanya yang menghasilkan kira-kira 400 keping kuih setiap hari. Kini, beliau boleh berbangga kerana mempunyai laman web sendiri iaitu www.byhandbyheart.com.my dengan menggunakan jenama Puteri Puff and Pastry. Orang ramai yang ingin cuba merasai keenakan kuihnya, boleh menempah terus secara online. Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivananda, berkata Google sendiri melaburkan sehingga RM10 juta untuk program sepanjang tahun ini dan tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu sekurang-kurangnya 50,000 syarikat tempatan membina laman web dan memastikannya aktif dalam tempoh tahun pertama. Katanya, 10,000 SME pertama yang berdaftar akan memperolehnya secara percuma termasuk nama domain dan juga hosting untuk tahun pertama. Pembaharuan tahunan turut diberikan pada kadar diskaun, iaitu hanya RM23 setahun. “Kami percaya program ini berpotensi tinggi dalam perkembangan SME di Malaysia dan ia akan menjadi antara satu komitmen jangka-panjang Google untuk Malaysia yang mana kami berharap akan membawakan kebaikan kepada semua rakyat di negara ini,” katanya yang percaya kuasa Internet dapat membantu perniagaan terus berkembang maju dan pelanggan memperoleh maklumat lebih pantas dan mudah. Bagi yang ingin mengetahui cara-cara membina laman web perniagaan masing-masing, layari laman web GMBO di http://www.getMYbusinessonline.com.my/ dan memasukkan maklumat perniagaan seperti nombor lesen, nombor telefon perniagaan dan beberapa perkara lain seperti alamat dan juga masa beroperasi.
Share this article
Follow