Media & Events

Harga program TV perlu dikaji

25 Sep 2012, Utusan Malaysia

STESEN-stesen televisyen (TV) terutama swasta beroperasi atas landasan keuntungan yang antara lain diperolehi daripada pendapatan sumber-sumber pengiklanan sewaktu sesebuah program itu ditayangkan pada setiap hari di saluran TV masing-masing.

Justeru, stesen-stesen TV sentiasa mengutamakan program-program yang bukan sahaja mampu menarik perhatian para peminat dalam usaha menaikkan rating penonton tetapi juga pihak pengiklan bagi membeli iklan di saluran-saluran mereka.

Sehubungan itu, menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, pihaknya sentiasa memberikan kadar bayaran yang munasabah berdasarkan kualiti dan keperluan dalam pembikinan sesebuah program TV itu.

"Kami sentiasa mengkaji kadar bayaran kepada mana-mana juga pembekal program TV untuk disiarkan di saluran-saluran kami. Antara lain kadar itu berdasarkan kualiti dan rekod para pembekal terbabit. Mereka yang telah berpengalaman dan mempunyai rekod baik tentunya akan dibayar lebih.

"Selain itu, kami juga mengambil kira tentang keperluan atau kos dalam pembikinan dalam sesebuah program TV itu. Contohnya, kalau ia menggunakan kos yang tinggi dengan pembikinannya dilakukan di luar negara, maka harga bayaran yang dibayar juga haruslah setimpal dengan sesebuah program itu.

"Begitu juga dengan bayaran artis atau pelakon yang digunakan dalam sesebuah program itu juga biasanya mengikut keperluan kami. Ini semua berdasarkan permintaan semasa kerana populariti pelakon juga boleh mempengaruhi rating sesebuah program itu," jelasnya.

Selain itu, tambah Ahmad Izham pembayaran ke atas sesebuah program TV itu juga diambil kira berdasarkan permintaan daripada pihak pengiklan yang bersedia membayar harga tinggi jika sesebuah program itu mendapat rating tinggi hasil daripada sambutan para penonton yang menontonnya.

Sementara itu, penerbit MIG Productions, David Teo seakan-akan akur dengan keputusan pihak stesen-stesen TV yang menyediakan kadar bayaran tertentu untuk sesebuah program yang dibekalkan kepada stesen-stesen TV terbabit mengikut kadar harga semasa.

Katanya, peningkatan harga bayaran berlaku di kalangan stesen-stesen TV biarpun tidak mendadak tetapi perbincangan sewaktu sesi pitching antara penerbit dan stesen-stesen TV boleh dilakukan bagi menentukan kadar bayaran yang lebih selesa bagi kedua-dua belah pihak pada masa depan.

"Bagi saya, sebagai penerbit kita menjual produk kepada stesen-stesen TV dan terpulanglah kepada mereka dalam menentukan harga. Takkan kita mahu paksa mereka mengikut harga yang kita tetapkan kalau pendapatan iklan tidak boleh diharapkan daripada program itu.

"Saya dapati sudah ada kenaikan dalam soal harga dan ini berlaku ke atas saya sendiri. Contohnya, saya difahamkan Astro membayar harga yang tinggi untuk dokumentari atau drama seperti Suatu Ketika Dulu yang banyak menggunakan bahan penyelidikan dan kos yang tinggi.

"Jadi harga yang dibayar juga memang bersesuaian dengan kos penerbitan sesebuah program itu. Lagipun setiap stesen TV meletakkan kadar yang tentunya berbeza berdasarkan cara mereka beroperasi. Saluran-saluran TV Media Prima Berhad adalah percuma.

"Sedangkan saluran-saluran TV Astro pula berbayar yang mana ia sedikit sebanyak mempengaruhi kadar bayaran dalam setiap program yang mereka beli. Sebagai stesen TV berbayar program yang dibekalkan mestilah mampu untuk menarik perhatian para penonton.

"Secara tidak langsung ia membabitkan soal kualiti dan cara pembikinan yang bukan sahaja menelan kos produksi yang lebih tinggi tetapi juga jangkaan tinggi para penonton. Ini antara perkara teknikal yang harus diberi perhatian apabila bercakap soal bayaran di kalangan stesen TV," ulasnya.

Dalam menangani isu itu, perbincangan antara pihak penerbit dan stesen TV seharusnya diadakan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan berlakunya rasa tidak puas hati berhubung bayaran terutama sebelum sesebuah produksi memulakan penggambarannya.

Mohd. Najib Jaafar yang juga salah seorang ahli Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menyarankan agar isu itu mendapat campur tangan daripada pihak seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangani soal harga pembelian program-program TV.

Agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu misalnya, boleh menyarankan agar dibuat satu kadar harga siling bagi setiap program TV agar ia dapat diselaraskan mengikut keperluan stesen-stesen TV terbabit.

"Sekarang ini, kadar harga yang ditetapkan oleh stesen-stesen TV tidak sekata dan adakalanya ia membebankan pihak penerbit. Contohnya, ada stesen TV yang mahukan pelakon gred A tetapi kadar bayaran yang diberi tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan mereka itu.

"Jadi, apabila ada satu garis panduan atau kadar bayaran yang selaras maka barulah pihak penerbit dapat memahami dan menggunakan bajet yang ada dalam menerbitkan sesebuah program seperti yang dimahukan oleh stesen-stesen TV," jelasnya dalam nada berhati-hati.

Apa pun kadar harga yang dituntut oleh pihak penerbit dan kesanggupan stesen-stesen TV untuk membayar pada kadar harga yang munasabah, diharap segala pertikaian itu secara tidak langsung mampu meningkatkan lagi mutu program-program TV pada masa depan.

Ini kerana, tiada gunanya pihak penerbit memperjuangkan kadar harga yang tinggi kepada jika tiada peningkatan daripada segi mutu dalam program-program mereka, sebaliknya ia hanya melunturkan kepercayaan para pengiklan dan penonton kelak.

Share this article
Follow