Media & Events

Industri kandungan multimedia

06 Jul 2007, Utusan Malaysia
Industri kandungan rangkaian multimedia merupakan satu industri yang kini pesat membangun. Ini selaras dengan usaha setiap negara membangunkan rangkaian komunikasi dan multimedia masing-masing. Kalimat dunia menjadi perkampungan global (global village) adalah hasil dari pembangunan rangkaian yang tersebut. Tahun ini saja berdasarkan kajian PWC Entertainment & Media Outlook 2002-2007, industri kandungan dijangka menyumbang AS$ 648 bilion (RM 2..33 bilion). Ini termasuk kandungan televisyen, animasi, permainan, kandungan mudah alih dan pengiklanan. Industri kandungan rangkaian negara pula masih di peringkat awal dan wajar diterokai serta dibangunkan secara serius. Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun 2003, saiz industri kandungan rangkaian adalah pada tahap RM 2 billion. Selaras dengan Objektif Dasar Kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat global bagi perkhidmatan komunikasi dan multimedia serta kandungan, SKMM mula mengorak langkah bagi membangunkan industri kandungan rangkaian multimedia negara. SKMM telah mengamanahkan tugas ini kepada Jabatan Pembangunan Kandungan di bawah Bahagian Kandungan, Pengguna dan Keselamatan Rangkaian. Pengarahnya, Roslan Mohamad berkata, masih ramai yang belum mengetahui mengenai kandungan rangkaian multimedia dan potensinya. “Berdasarkan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, kandungan bermaksud, apa-apa bunyi, teks, gambar bergerak, gambar pegun atau penyampaian audio-visual lain atau kombinasi yang berkebolehan mencipta, memanipulasi, menyimpan, mendapatkan semula dan berkomunikasi secara elektronik,” katanya semasa ditemui di pejabatnya, baru-baru ini. Sejak ditubuhkan pada tahun 1999, pihak SKMM lebih memberikan penumpuan kepada perancangan serta pembinaan prasarana komunikasi dan multimedia negara. Ini adalah penting kerana prasarana komunikasi dan multimedia amatlah kritikal bagi menarik pelaburan asing serta peningkatan daya saing negara (competitiveness). Fasa seterusnya adalah membangunkan industri kandungan yang berdayamaju bagi mengisi ruang prasarana komunikasi dan multimedia yang telah dan sedang dibangunkan. Roslan memaklumkan bahawa sejak Jabatan Pembangunan Kandungan ditubuhkan Oktober tahun lalu, pihaknya telah pun mewujudkan dana sejumlah RM20 juta dalam bentuk Geran Pembangunan Kandungan Rangkaian (Networked Content Development Grant) untuk membantu para usahawan yang berpotensi menghasilkan kandungan rangkaian berdayamaju serta memiliki potensi komersial yang tinggi. SKMM juga menjalin kerjasama bersama Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) serta Maxis bagi mengadakan Cabaran Kandungan Mudah alih 2007. SKMM akan menyediakan wang tunai berjumlah RM100 ribu untuk pemenang-pemenang. Pemenang bukan saja mendapat hadiah wang tunai tetapi juga berpeluang menjadi usahawan kandungan kerana mereka yang berjaya akan diserapkan ke Program Pembangun Kandungan MAXIS (Maxis Content Developer Program). “Penyertaan yang diterima amat menggalakkan dan di luar jangkaan. Ini menunjukkan kesedaran dalam industri kandungan rangkaian,” katanya. Bagi meningkatkan lagi kesedaran orang ramai mengenai potensi dan peluang kandungan rangkaian, pihak SKMM akan mengadakan satu seminar `Peluang Dalam Kandungan Rangkaian’ pada 10 Julai ini. Seminar separuh hari yang diadakan di Auditorium SKMM bakal dirasmikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor. Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai seminar berkenaan boleh menghantar e-mail kepada [email protected].
Share this article
Follow