Media & Events

Industri komunikasi dan multimedia berkembang 2.8 kali ganda

02 Apr 2019, utusan malaysia

CYBERJAYA 2 April - Industri komunikasi dan multimedia negara kini pesat berkembang dengan peningkatan pendapatan hampir 2.8 kali ganda iaitu daripada RM16 bilion pada 2000 kepada RM44 bilion tahun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-lshsal Ishak berkata, industri tersebut kini bernilai RM135.7 billion di bursa saham berbanding RM50.7 bilion pada 1999.

Sehubungan itu, bagi menyambut ulang tahun ke-20 penggubalan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, Malaysia jelasnya, telah bersedia untuk mempamerkan teknologi mudah alih generasi kelima atau 5G yang dijangka mengubah pelbagai aspek kehidupan masyarakat.

"Pameran 5G yang akan diadakan pada 18 April ini di Putrajaya bakal memberi peluang kepada segenap lapisan masyarakat untuk melihat dan mengalami secara langsung manfaat teknologi tersebut.

"Acara ini akan dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan terbuka kepada orang awam pada 20 dan 21 April dengan menampilkan komponen yang memanfaatkan teknologi 5G termasuklah penjagaan kesihatan, media, hiburan dan automotif," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Antara pihak yang mengambil bahagian termasuklah syarikat-syarikat telekomunikasi utama dan institusi pengajian tinggi seperti Celcom, Digi, Maxis dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut A-lshsal, pihaknya sangat berbesar hati kerana diberi peluang meneraju pengenalan industri 5G di negara ini.

Katanya, 5G bukan sekadar kelajuan data dan keupayaan jaringan yang meluas, malah ia turut menghubungkan berjuta-juta peranti, membina perkhidmatan baharu dan menyokong penggunaan aplikasi secara lebih meluas.

"Ia akan memberi kesan positif kepada operasi perniagaan dan kerajaan serta aktiviti pengguna dari hari ke hari.

"Walaupun 5G masih belum boleh didapati secara komersial untuk tempoh beberapa tahun akan datang, namun pameran ini bertujuan untuk memberikan satu gambaran yang bakal menanti pada masa hadapan," katanya.

Share this article
Follow