Media & Events

Jabatan, agensi KPKK diminta perhebat pasarkan maklumat

26 Mar 2012, Berita Harian
SANDAKAN: Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di Sabah diminta memperhebatkan usaha untuk memasarkan maklumat mengenai dasar dan program kerajaan negeri kepada rakyat. Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata maklumat tersebut termasuklah kejayaan dalam memajukan negeri dan meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat terutama di kawasan luar bandar. "Dalam masa sama, usaha memberi penjelasan secara bersepadu mengenai pendirian kerajaan dalam isu tertentu yang dibangkitkan oleh rakyat juga penting supaya mereka mendapat maklumat dan gambaran sebenar," katanya ketika merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya Komuniti 1 Malaysia 'Siok Bah 1Malaysia...Tatap' di sini, hari ini. Program dua hari yang berakhir hari ini dianjurkan oleh jabatan dan agensi di bawah KPKK terdiri daripada Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Hal Ehwal Khas, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia, Jabatan Arkib Negara, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Telekom dan Pos Malaysia dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan dan Parlimen Batu Sapi. Musa berkata, program itu yang berkonsepkan turun padang berkesan untuk mendekati rakyat yang membolehkan warga jabatan dan agensi KPKK serta pemimpin bersemuka secara terus dengan masyarakat.
Share this article
Follow