Media & Events

Judi internet: RM7.3 juta komputer dirampas, 2,642 pesalah ditahan

24 Jan 2013, Utusan Malaysia

KUANTAN 23 Jan. - Polis berjaya merampas 7,307 unit komputer bernilai RM7.3 juta dan menahan 2,642 orang yang terlibat dalam kegiatan judi internet di seluruh daerah ini sejak tahun lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, dalam Ops Dadu itu, pihaknya telah membuat serbuan di 622 premis kafe siber internet yang beroperasi secara haram.

"Semua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an dan 38 orang daripadanya telah didakwa di mahkamah.

"Selain komputer, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM196,850," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Jasmani, pihaknya akan memantapkan operasi secara berterusan bagi membanteras gejala itu dengan kerjasama beberapa agensi seperti pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Operasi ini akan diteruskan kerana gejala berjudi ini akan memberi kesan kepada masyarakat terutama penyumbang kepada masalah jenayah yang lain seperti mencuri.

"Saya berharap masyarakat turut sama membantu dengan menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras gejala ini," jelasnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 
Share this article
Follow